Translate

01 September 2020

COVID-19 MALAYSIA: New Cases-14 (Imported -5, Local-9) New Death- 1, Active Cases-151 | Total Cases-9354 | Total Deaths- 128



Kenyataan Akhbar KPK 1 September 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 21 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,075 kes (97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 1 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 14 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,354 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 151 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 14 kes baharu yang dilaporkan, lima (5) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua bukan warganegara. Lima (5) kes import tersebut adalah dari negara:

  • Ukraine (1 kes di Selangor);
  • Pakistan (1 kes di Selangor);
  • Indonesia (1 kes di Selangor); dan
  • Filipina (2 kes di Sabah).

Daripada sembilan (9) kes penularan di dalam negara, lima (5) kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan empat (4) kes adalah bukan warganegara.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (5 kes) adalah :

  • Kedah – dua (2) kes:
    • Satu (1) kes daripada Kluster Tawar; dan
    • Satu (1) kes daripada Kluster Telaga.
  • Sabah – tiga (3) kes:
    • Satu (1) kes daripada Kluster Benteng LD;
    • Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI)di Hospital Lahad Datu; dan
    • Satu (1) kes saringan tahanan di penjara.

Kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara (4 kes) juga adalah daripada Kluster Benteng LD di Sabah. Kluster-kluster ini akan diperincikan di bawah.

Sehingga kini, terdapat lima (5) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga (3) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 128 kes (1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

  • Kes kematian ke-128 (kes ke-9174) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru dan darah tinggi. Beliau merupakan salah satu kes positif yang telah dilaporkan pada 15 Ogos 2020 dalam Kluster Tawar. Beliau mula mengalami gejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Pada 14 Ogos 2020, beliau dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang setelah didapati positif COVID-19. Keadaan kesihatan beliau merosot dengan komplikasi daripada penyakit barah, justeru memerlukan bantuan pernafasan sejak 24 Ogos 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 1 September 2020 jam 10.38 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau.

KLUSTER BENTENG LD

KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharutelah dikenalpasti hasil saringan tahanan baharu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah. Setakat ini, seramai 50 orang tahanan telah disaring pada 28 Ogos 2020. Daripada jumlah ini:

  • Tujuh (7) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 43 individu adalah negatif.

Kes positif COVID-19 kluster ini melibatkan enam (6) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan satu (1) warganegara Malaysia. Kesemua kes positif ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti. Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat masih diteruskan. Punca jangkitan adalah dalam siasatan.

STATUS TERKINI KLUSTER TAWAR DAN KLUSTER TELAGA

KKM ingin memaklumkan pertambahan kes dalam Kluster Tawar dan Kluster Telaga. Pertambahan kes kedua-dua kluster ini melibatkan negeri Kedah.

  1. Kluster Tawar

Terdapat satu (1) kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di negeri Kedah, justeru menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak 75 kes. Sehingga 1 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 17,880 orang telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut:

  1. Kedah (17,335 disaring):
    • 64 kes dikesan positif COVID-19;
    • 15,853 individu negatif; dan
    • 1,418 individu masih menunggu keputusan.
  2. Pulau Pinang ( kekal 534 saringan):
    • 11 kes dikesan positif COVID-19; dan
    • 523 individu negatif.
  3. Perak: Kekal 11 saringan, di mana semua adalah negatif. Tiada saringan baharu.

2. Kluster Telaga

Terdapat satu (1) kes baharu dilaporkan bagi Kluster Telaga di negeri Kedah, justeru menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak enam (6) kes. Sehingga 1 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 1,008 orang telah disaring dalam kluster ini termasuk saringan di negeri Pulau Pinang [iaitu satu (1) saringan setakat ini] yang masih menunggu keputusan. Saringan di negeri Kedah pula adalah seperti berikut:

  • Enam (6) kes dikesan positif COVID-19;
  • 968 individu negatif; dan
  • 33 individu masih menunggu keputusan.

Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster ini.

KKM KHUATIR KES IMPORT DIJANGKA MENINGKAT EKORAN MUSIM SEJUK

Rata-rata negara dari benua Amerika, Eropah dan Asia Tenggara sedang melihat kenaikan kes COVID-19 sepertimana yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Perkara ini kemungkinan menggusarkan kebanyakan negara hemisfera utara yang bakal berhadapan dengan musim sejuk.

Tambahan pula, penyakit saluran pernafasan termasuk jangkitan paru-paru lazimnya lebih banyak dilaporkan sepanjang musim sejuk berbanding dengan musim-musim lain. Situasi ini membimbangkan kerana kebanyakan kes COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia mutakhir ini adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, meskipun mereka dikuarantin di pusat kuarantin sejurus memasuki Malaysia.

Turut didapati bahawa, nilai Rt atau R naught (R0), iaitu  kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat sedikit meningkat di Malaysia. Pada 26 Ogos 2020, Rt yang dilaporkan adalah 0.74, namun kini ianya telah meningkat sehingga 1.0.

Oleh yang demikian, kita perlu meneruskan dan memantapkan lagi kawalan sempadan antarabangsa. Kawalan sempadan antarabangsa yang masih dalam pelaksanaan wajar diteruskan, malah perlu diperkukuhkan bagi memastikan jangkitan COVID-19 dari luar negara tidak menular ke dalam Malaysia. Implementasi kawalan sempadan yang lebih ketat sememangnya memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.

KAWALAN PINTU SEMPADAN NEGARA

Susulan itu, KKM menyambut baik keputusan untuk menyekat kemasukan pemegang Pas Jangka Masa Panjang bagi warganegara India, Indonesia dan Filipina seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) dalam sidang media beliau sebantar tadi. Sekatan ini akan mula berkuatkuasa pada 7 September 2020.

Masyarakat juga diminta untuk terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan sambil mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19 misalnya, amalkan 3W dan elakkan 3C pada setiap masa di mana jua anda berada. Orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing dalam memerangi wabak COVID-19 dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap komuniti, masyarakat dan negara.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM berharap orang ramai terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
  • Elakkan bersalaman / bersentuhan dengan mana-mana kaedah sekalipun termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan bersalaman;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:

  • S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P : Penjarakan fizikal (physical distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 September 2020 @ 5.00 petang.

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 1 SEPTEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS032
KEDAH2218
PULAU PINANG0136
PERAK0269
SELANGOR3 (3)2,174
NEGERI SEMBILAN01,034
MELAKA0262
JOHOR0751
PAHANG0370
TERENGGANU0114
KELANTAN0160
SABAH9 (2)426
SARAWAK0699
W.P. KUALA LUMPUR02,587
W.P. PUTRAJAYA099
W.P. LABUAN023
JUMLAH KESELURUHAN14 (5)9,354

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import


Image

PERINCIAN KES BAHARU (14), SABAH-9 1 kes WN & 6 kes BWN saringan tahanan lokap 1 kes WN saringan tahanan penjara 1 kes SARI SELANGOR-3 1 kes BWN tiba dari Ukraine 1 kes BWN tiba dari Indonesia 1 kes BWN tiba dari Pakistan KEDAH-2 1 kes WN kluster Tawar 1 kes WN kluster Telaga

Image

1 kes baharu dikesan di Kluster Tawar menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 75. Kes terbaharu adalah dari generasi ketiga.

Image

Dukacita dimaklumkan terdapat 1 kes kematian dilaporkan hari ini. Kes ke-9174 ini adalah dari Kluster Tawar. Secara keseluruhan, kes kematian adalah sebanyak 128 kes. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau.

Image

Nilai Rt atau R naught (R0) di Malaysia sedikit meningkat di negara kita. Pada 26 Ogos, Rt adalah 0.74, namun kini telah meningkat sehingga 1.0. Justeru, KKM menyambut baik keputusan menyekat kemasukan pemegang Pas Jangka Masa Panjang bagi warga India, Indonesia dan Filipina.

Image

Status terkini COVID-19 setakat 1 September 2020 Jumlah discaj baru: 21 Jumlah kumulatif discaj: 9075 (97.0%) Jumlah kes baru; 14 Jumlah kumulatif: 9354 Jumlah kes aktif: 151 Jumlah kematian: 1 Jumlah kumulatif kematian: 128 (1.37%) Jumlah kes di ICU: 5 Pesakit intubated: 3

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED