Translate

25 September 2020

Anggota Polis Trafik Ditahan Kerana Tipu



Anggota Polis Trafik Ditahan Kerana Tipu
BERNAMA
24/09/2020 07:12 PM


KUALA LUMPUR, 24 September -- Seorang anggota polis ditahan selepas disyaki menipu kononnya boleh menawarkan bantuan menyelesaikan saman trafik seorang pemandu lori di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata anggota polis trafik berusia 45 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 7.30 petang di IPD Petaling Jaya tidak lama selepas polis menerima laporan daripada pemandu lori berkenaan, semalam.

Beliau berkata kejadian bermula pada 17 Sept lepas apabila pemandu lori berumur 46 tahun yang membuat semakan di IPD Petaling Jaya itu mendapati anaknya mempunyai saman RM1,120, dan ketika masih di kaunter bahagian trafik itu juga beliau ditegur suspek yang menawarkan saman itu diselesaikan dengan bayaran RM500.

“Suspek memberi alasan kononnya dia mempunyai rakan di bahagian trafik Ibu pejabat polis Bukit Aman yang boleh membantu bagi pengurangan saman berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya pemandu lori itu kemudiannya memindahkan RM500 ke akaun suspek yang berjanji akan menyelesaikan saman itu dalam masa tiga hari, namun ia masih tidak diselesaikan sehingga laporan polis dibuat semalam.

Nik Ezanee berkata suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas menjalani ujian air kencing semasa ditahan, dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya membuat pembayaran saman hanya di kaunter Trafik COPS di seluruh negara, dan mendapatkan resit bagi setiap pembayaran.

Sementara itu, polis sedang berusaha mengesan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak lebih empat bulan lepas, dikatakan selepas keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata Leong Chee Hoong, 60, beralamat di nombor 1A, Lorong Setapak 2 Off, Jalan Pahang, dilaporkan hilang apabila dia tidak pulang ke rumah selepas menerima rawatan di HKL.


Dalam satu kenyataan di sini hari ini beliau berkata, kakak kepada Leong memberitahu terdahulu adiknya itu dimasukkan ke HKL untuk menerima rawatan dan dia sepatutnya keluar dari hospital pada 19 Mei, namun sehingga kini adiknya masih tidak dapat dikesan.

Beliau menggambarkan Leong sebagai bertubuh kurus dengan ketinggian 170 sentimeter, serta memiliki berat badan 68 kilogram, dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Leong diminta menghubungi Sjn Ramli Shamsuri dengan menelefon 019-2600866 atau hubungii Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA





Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED