Translate

06 August 2020

Lim Guan Eng sekali lagi hadir ke SPRM, dia ditahan dan akan didakwa esok







06/08/2020 10:37 PM



KUALA LUMPUR, 6 Ogos -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Sumber SPRM ketika dihubungi Bernama mengesahkan Lim ditahan pada kira-kira 9.30 malam ini selepas diambil keterangan berhubung kes berkenaan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Sementara itu, kenyataan SPRM menyebut Lim akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta di sini pada 9 pagi esok mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.



Menurut kenyataan itu, Lim juga akan didakwa pada 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang itu bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa Lim bagi kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.


-- BERNAMA


Projek terowong dasar laut: Lim Guan Eng sekali lagi hadir ke SPRM
06/08/2020 09:57 PM



PUTRAJAYA, 6 Ogos -- Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng sekali lagi hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini malam ini, dipercayai berkaitan siasatan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, bernilai RM6.3 bilion.

Kenderaan Toyota Vellfire putih yang dinaiki bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, dilihat memasuki perkarangan ibu pejabat SPRM pada kira-kira 9.10 malam.

Ahli Parlimen Bagan itu sebelum ini telah tiga kali dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu.


Laporan sebelum ini menyebut siasatan kes berkenaan kini berada dalam fasa akhir, manakala Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki pula dilaporkan berkata kertas siasatan berkaitan kes itu dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, dalam masa terdekat.

Pada 30 Jun lepas, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), bagi membantu siasatan berhubung elemen rasuah dalam projek itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan beberapa exco serta bekas exco kerajaan negeri, turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berkaitan projek mega itu.


-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED