Datuk Seri Azlan Man dipecat daripada UMNO, BN Perlis
24 Mei 2018 2:43 PM
KUALA LUMPUR - Perlis terjerumus dalam krisis politik dan perlembagaan apabila Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang baru dilantik oleh Raja Perlis sebagai Menteri Besar pagi tadi dipecat serta-merta daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri berkuat kuasa hari ini.
Pengerusi BN Perlis yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pemecatan itu dibuat berikutan Azlan tidak mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang lain.
"Azlan tidak ikut keputusan BN, maka kami di peringkat negeri sudah sahkan bahawa dia dipecat.
"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk buat pemecatan di peringkat pusat kepada mana-mana pihak yang berunding dengan pihak lain tanpa kebenaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau menganggap pelantikan Azlan itu sebagai tidak adil kerana pelantikannya bukanlah melalui sokongan majoriti.
Menurutnya, pemilihan Menteri Besar wajar dibuat mengikut sokongan majoriti walaupun terdapat klausa yang membenarkan raja melantik orang lain dalam situasi majoriti tergantung.
"Kami menghormati institusi beraja sejak dulu hingga sekarang tetapi kami berhak tentukan siapa pemimpin kami.
"Seminggu sebelum raya nanti, semua sembilan Adun BN ini akan menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk lantikan Menteri Besar yang dipilih," katanya.
Dalam pada itu, Shahidan turut meminta Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk memberikan pandangan dari segi undang-undang berhubung lantikan Azlan sebagai Menteri Besar.
"Saya minta Sultan Nazrin sebagai pakar undang-undang untuk memberi pendapat tentang perkara ini kerana baginda juga pernah bagi pandangan tentang pelantikan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
"Saya juga merayu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk campur tangan supaya pemilihan Menteri Besar mestilah daripada individu yang dapat sokongan majoriti dan bukan dipilih oleh raja atau gabenor," katanya.
Azlan, 60, ADUN Bintong, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua dihadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Balai Menghadap, Istana Arau pagi tadi.
Majlis mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan Menteri Besar itu bagaimanapun tidak dihadiri sembilan ADUN BN negeri.
Hanya dua ADUN Pas dan tiga ADUN Pakatan Harapan yang hadir pada majlis itu. - K! ONLINE