Translate

24 May 2018

Malaysia tewas 2-3 kepada juara bertahan Denmark dan akan bertemu Indonesia dalam Suku Akhir Thomas Cup 2018


Malaysia tewas 2-3 kepada juara bertahan Denmark



Jan O Jorgensen menewaskan Iskandar Zulkarnain (gambar) 16-21, 21-17 dan 21-14. - BERNAMA/Fail

BANGKOK: Hasrat Malaysia untuk muncul juara Kumpulan D Piala Thomas tidak kesampaian apabila tewas 2-3 kepada juara bertahan, Denmark dalam aksi terakhir kumpulan yang berlarutan sehingga ke tengah malam di Impact Arena di sini.

Mata kemenangan Denmark itu dikutip oleh pemain perseorangan ketiganya, Jan O Jorgensen yang menewaskan pemain negara, Iskandar Zulkarnain 16-21, 21-17 dan 21-14 pada perlawanan kelima dan terakhir itu.

Walaupun tewas, Malaysia tetap akan mengiringi Denmark ke saingan suku akhir sebagai naib juara kumpulan.

Sebelum itu, pemain perseorangan utama Malaysia, Datuk Lee Chong Wei memulakan langkah kanan bagi pasukan negara apabila menundukkan Victor Axelsen, yang juga merupakan pemain nombor satu dunia.

Pemain berusia 36 tahun itu tampil dengan corak permainan menyerang dan menang selesa 21-9 dan 21-19.

Bagaimanapun, Denmark bangkit semula untuk menyamakan kedudukan menerusi pasangan beregu utamanya, Mads Conrad Petersen dan Mads Pieler Kolding yang menumpaskan pasangan negara, Goh V Shem dan Tan Wei Kiong dalam saingan rubber set.

Pasangan Denmark itu tumpas pada set pertama 22-24, sebelum bangkit pada dua set berikutnya 21-15 dan 21-15 untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Malaysia memperolehi mata keduanya menerusi pemain perseorangan kedua negara, Tan Jii Zia yang menundukkan Hans Kristian Solberg Vitthinghus 21-18 dan 21-18, sekali gus mendahului perlawanan 2-1.

Bagaimanapun, rentak kemenangan Malaysia tidak berpanjangan selepas beregu Denmark, Mathias Boe dan Mathias Christiansen bangkit untuk menumpaskan pasangan negara, Aaron Chiah-Teo Ee Yio dalam perlawanan yang berlanjutan sehingga rubber set.

Pasangan Denmark itu tewas pada set pertama 19-21, sebelum bangkit dengan kemenangan pada set kedua 21-10 dan 21-18 pada set ketiga untuk menjadikan kedudukan keseluruhan 2-2 selepas empat permainan.

Perlawanan kelima menampilkan Jorgensen yang memberikan mata ketiga dan kemenangan kepada Denmark. -- Bernama

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED