Rahsia Seorang Biduan: Nyanyi Terapi Dellinki Manual [METROTV]
Nasib seorang biduan, sakit pun kena nyanyi! Implikasi apa dicuit di kolum ini minggu lalu, Datuk Dahlan Zainuddin tampil bagi menjernihkan situasi. Tiada pihak ujarnya memaksa beliau menyanyi sekalipun kesihatannya ‘kureng’ OK di Konsert Amal Superstar 70-an Dhalan Zainuddin di Hard Rock Cafe pada 19 Februari lalu sebaliknya aksinya itu adalah atas kerelaan sendiri.
Dalam usia 76 tahun masih terdaya menyanyi, bagi penulis ia simbol biduan sejati. Kesempatan bertemu Dahlan diaturkan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez memberi peluang penulis bertanyakan apa saja pada satu-satunya penghibur kita diberi jolokan ‘superstar’. Jika arena bola sepak ada ‘Super-Mokh’, bidang nyanyian pula superstarnya adalah Dahlan Zainuddin.
Sebagaimana penulis ditegur Eksekutif Penyunting Harian Metro mana satu betul ejaan nama Dahlan atau Dhalan, itu antara yang penulis ajukan pada beliau. Selain itu kita ingin juga tahu siapakah yang memberi gelaran ‘superstar’ kepada Dahlan, pencipta lagu Kisah Seorang Biduan dan mengapa filem Kisah Seorang Biduan tiada pun lagu Kisah Seorang Biduan di dalam filem itu?
Ketika konsert amal berlangsung, agak pelik juga kerana penonton yang hadir secara automatik dikira menyumbang dana melalui tiket dibeli, mengapa Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave tiba-tiba mencelah membuat kutipan kilat untuk Dahlan. Bagi Dahlan, jauh di sudut hati, dia tidak berapa selesa jika ujian dihadapi menjadi modal menagih simpati untuk dibuat tabung, namun kesudian rakan artis seangkatan menyumbang sesuatu kepada dirinya membuatkannya terharu, umpamanya DJ Dave sendiri turut menyumbang lagu Teman Setia.
Sesi wawancara dengan Dahlan diadakan di sebuah restoran mamak di Ampang Indah. Lokasi itu digemari Dahlan, dan dia lebih selesa berbual di luar rumah, namun mesti ditemani ‘doktor peribadinya’ iaitu Datin Effa Rizan isteri beliau sendiri. Tatkala kami bersembang sementara jurugambar video ‘on line’ Harian Metro, Khairus Ramli (Mok) membetulkan ‘mike’ dan mencari sudut terbaik, ada saja pelanggan menyapa Dahlan bertanyakan kondisi kesihatannya terkini, ada yang berstatus ‘datuk’, malah pelayan mamak pun mesra dan sempat bergurau dengan Dahlan.
Sifat ramah dan keperbadian Dahlan itu sememangnya disenangi pelbagai pihak. Selain Karyawan dan Melodi United Music mengambil inisiatif menganjurkan konsert amal tempoh hari, pihak Seniman Malaysia, Papita (Persatuan Penyanyi Pemuzik Penulis Lagu Tanahair), UKRC (Ulu Klang) serta Kelab Sukan NSTP sudah pun menganjurkan program sama buat Dahlan.
Inilah yang dikata orang berbudi, kita berbahasa. Di era kemuncak populariti sekitar 70-an dan 80-an, Dahlan banyak terbabit dalam pelbagai kerja amal, apatah lagi sewaktu berkhidmat di New Straits Times Press (NSTP) umpamanya kutipan untuk pelawak AK Jailani, selain menjayakan perlawanan bola sepak anjuran Seniman walhal beliau penyanyi bernaung bawah Papita.
Perihal ejaan namanya Dahlan adalah nama sebenar, tetapi di pentas nyanyian dieja Dhalan. Bagaimanapun nama sebenar superstar dilahirkan pada 2 April 1941 ini adalah Dellinki Manual Mohd Dahlan Zainuddin. Pelik bukan? Nama itu diberi bapa angkatnya, Brent ketika dilahirkan di Ipoh, tatkala usianya enam tahun bapa kandungnya membawanya ke Teluk Kurau, Singapura.
Nyata singkatan nama Dell daripada Dellinki itu diguna pakai hingga mencipta popularitinya tersendiri di bidang seni. Kejayaannya merangkul Persembahan Terbaik Bakat TV 1975 melorong Dahlan untuk lebih serius di bidang nyanyian, walhal sebelum itu beliau adalah penyanyi kontrak di Hotel Federal Kuala Lumpur. Lagu Kisah Seorang Biduan ciptaan komposer Indonesia, Sam Bimbo nyata membawa tuah kepada Dahlan hinggakan produser Sabah Filem, Deddy M.Borhan tertarik menggunakan judul lagu itu untuk filem terbitan syarikat itu yang diarahkan oleh M Amin.
Ada cerita di sebaliknya kata Dhalan, ramai tidak tahu hakikat Rahim Razali (kini Datuk) terlebih dahulu berminat menggunakan judul lagu itu sebagai filem arahan pertamanya, namun sudah namanya orang bisnes, M Borhan lebih pantas mengambil kesempatan. Bagaimanapun terbit kekecewaan di hati Dahlan kerana dalam filem itu tidak diselitkan pun lagu Kisah Seorang Biduan.
Komposer Ahmad Nawab (Datuk) tidak berminat menyelitkan lagu ‘berhantu’ itu di dalam filem Kisah Seorang Biduan. Apa alasannya hanya Ahmad Nawab saja yang boleh memberi jawapan, namun sebagai komposer masing-masing ada ego tersendiri. Siapa tahu, Ahmad Nawab beranggapan apa perlu menyanjung lagu orang luar? Penyudahnya Dahlan dikritik peminat, bahkan lakonannya dikecam hebat oleh wartawan hiburan ketika itu, Fauziah Samad (Jee). Itulah filem pertama dan terakhir lakonan Dahlan kerana hakikatnya dia serik menjadi pelakon.
Perihal wartawan hiburan yang kritik lakonannya berapi-api, Dahlan tidak beremosi apatah lagi mahu berkecil hati walhal antara dia dengan wartawan itu adalah rakan sepejabat. Gelaran ‘superstar’ diperoleh Dahlan daripada wartawan hiburan Majalah Variapop, ekoran kejayaannya mengadakan persembahan di Studium Negara pada era 70-an. Bukan mudah untuk artis tempatan beraksi di Stadium Negara, lazimnya dimonopoli artis Barat, tetapi Dahlan berjaya memecah dominasi itu bagi mengangkat maruah penyanyi tempatan, sejajar dengan imej superstarnya itu.
Mengenai kesihatannya kesan strok dihadapi, Dahlan masih menjalani fisioterapi dan suntikan insulin empat kali sehari. Sejak diserang penyakit itu pada Ramadan tahun lalu di Perlis, Dahlan elak memakan daging lembu. Bagi Dahlan, aksinya di konsert amal tempoh hari sebagai membalut kekecewaannya tidak sempat beraksi di Perlis gara-gara serangan angin ahmar itu.
Di sisi lain Dahlan acapkali menyanyi secara terbuka di kawasan Nasi Lemak Tanglin. Menyanyi bagi biduan sejati ini adalah terapi terbaik buat dirinya sendiri. Bagi Freddie, usaha membawa Dahlan keluar berbual-bual dapat membangkitkan kembali memori silam dan ianya salah satu strategi terapi bagi menghiburkan hati insan seni bernama Dahlan Zainuddin ini selain menyanyi.
Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad