Translate

05 April 2016

Mahkamah menolak saman bekas pengurus peribadi Zizan Razak terhadap pelakon dan pelawak itu berhubung pelanggaran kontrak perjanjian


Mahkamah Tolak Saman Marina Juki Terhadap Zizan Razak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menolak saman bekas pengurus peribadi Zizan Razak terhadap pelakon dan pelawak itu berhubung pelanggaran kontrak perjanjian, dua tahun lepas.
Hakim Rosbiahanin Arifin dalam keputusannya berkata adalah jelas segala terma dan syarat perjanjian ialah antara Syarikat Wire Fame Entertainment Sdn Bhd dengan Zizan.
"Tidak mungkin perjanjian itu boleh dijadikan asas bagi Marina Juki (plaintif) untuk memfailkan saman individu terhadap defendan. Oleh itu, mahkamah menolak saman plaintif," kata Rosbiahanin.
Mahkamah juga menolak tuntutan balas Zizan, 32, atau nama sebenarnya Mohd Razizan Ab Razak terhadap Marina atas dakwaan saman itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Pada 5 Nov 2014, Marina memfailkan saman terhadap Zizan atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian yang ditandatangani antara Zizan, syarikat Wire Fame dan Marina pada 3 Mei 2011.
Marina mendakwa berdasarkan kontrak itu, Zizan telah bersetuju melantiknya sebagai pengurus peribadi dan perjanjian itu untuk tempoh empat tahun dan akan tamat pada 2 Mei 2015.
Dalam pernyataan tuntutannya, Marina mendakwa pada Mei 2014, pihak Astro telah mengesahkan Zizan berada di bawah pengurusan Astro dengan kontrak bernilai RM2,000,000 tanpa persetujuan syarikat Wire Fame dan plaintif.
Wanita itu mendakwa Zizan telah melanggar perjanjian kerana perpindahannya ke Astro dilakukan sebelum tamat tempoh kontrak dengan plaintif dan syarikat Wire Fame.
Beliau memohon ganti rugi khas sebanyak RM535,500, ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Marina juga memfailkan satu lagi saman terhadap Zizan pada 30 Sept 2014 berhubung pembekuan dua akaun syarikat Wire Fame untuk satu tempoh yang lama, bagaimanapun Mahkamah Tinggi telah membatalkan saman itu pada 10 Feb 2015 selepas membenarkan permohonan Zizan untuk berbuat demikian.
Peguam Rishwant Singh mewakili Zizan manakala Wan Nurliyana Wan Abd Rahman bertindak bagi pihak Marina.
- Bernama

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED