Translate

21 September 2015

Najib diarah fail pembelaan ke atas saman bekas ahli Umno


Najib diarah fail pembelaan ke atas saman bekas ahli Umno


OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
THE STAR

Published: 21 September 2015 2:57 PM

Bekas pemimpin Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin berjaya memperoleh perintah mahkamah bagi Datuk Seri Najib Razak memfailkan jawapan terhadap saman berhubung wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 September, 2015.



Datuk Seri Najib Razak hari ini diperintah memfailkan pembelaannya sebelum 1 Oktober sebagai respons kepada saman oleh ahli parti dipecat terhadap presiden Umno itu berhubung wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.



Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili bekas pemimpin Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin berkata, anak guamnya diberi tempoh sehingga 15 Oktober untuk memfailkan jawapan kepada pembelaan Najib jika ingin berbuat demikian.

Beliau berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norfauziah Mohd Nordin turut mengarahkan Najib memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan Anina untuk membekukan aset beliau sementara menunggu keputusan saman utama kerana pecah amanah.


"Ini perlu dilakukan sebelum 6 Oktober," kata Haniff dalam satu SMS kepada The Malaysian Insider.



Peguam Aizul Rohan dan Irwan Iswat mewakili Anina semasa pengurusan kes di hadapan Norfauziah di Kuala Lumpur hari ini.

Haniff berkata mahkamah memberikan Najib kebebasan untuk memfailkan apa-apa permohonan lain tetapi ia mesti dilakukan sebelum pengurusan kes yang akan datang iaitu pada 21 Oktober.

Beliau berkata hakim Datuk Zaki Wahab akan mempengerusikan pengurusan kes seterusnya.

Peguam Nor Emelia Mohd Iszeham dan Norhazira Abu Haiyan mewakili Najib.

Pada 28 Ogos, Anina memfailkan saman bagi pihak parti terhadap presiden Umno berhubung wang yang didermakan kepada Najib oleh individu dari Timur Tengah bagi membantu Barisan Nasional mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum 2013.

Beliau juga memfailkan saman berasingan untuk mencabar pemecatannya daripada parti.

Pada Jumaat, dia memfailkan permohonan membekukan aset Najib dan penghakiman bagi pengakuan.

Haniff berkata pembekuan aset di bawah injunksi Mareva dibuat supaya aset tidak akan dikeluarkan ke tempat lain dan juga mengelak supaya anak guamnya boleh mendapatkan remedi sekiranya memenangi kes itu.

Injuksi Mareva, juga dikenali sebagai perintah pembekuan, digunapakai supaya defendan tidak boleh membahagi-bahagikan asetnya di luar bidang kuasa mahkamah bagi mengelak penghakiman.

Anina juga memohon suatu perintah bagi Najib mendedahkan dalam afidavit, aset boleh alih dan tidak alih beliau, di Malaysia dan luar negara, dalam tempoh 10 hari daripada perintah mahkamah.

Beliau mula dikenali pada mesyuarat agung tahunan bahagian Langkawi apabila muncul dalam video yang menjadi viral, menuduh Najib "berbohong" kepada ahli Umno dengan mendakwa semua mereka menyokong beliau.

Sejak beberapa bulan lalu Najib berada di bawah tekanan, termasuk daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menggesa beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri berhubung kemelut 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion.

Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia masih menyiasat kes-kes tersebut. – 21 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-diarah-fail-pembelaan-ke-atas-saman-bekas-ahli-umno#sthash.MaUU7R4U.dpuf

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED