Hukum Menggunakan Rokok Elektrik/ E Cigarette/ Vapor Difatwakan Sebagai Haram Sama Seperti Rokok Sebenar - Mufti Wilayah
IRSYAD FATWA KE-63: HUKUM PENGGUNAAN ROKOK ELEKTRONIK / VAPOR
Alhamdulillah, dalam Irsyad Fatwa pada kali ini, kami seupaya mungkin cuba menekuni isu yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik dan vapor atau vape yang sekarang ini begitu berleluasa digunakan termasuk kalangan remaja perempuan dengan pelbagai alasan. Antara alasan paling popular adalah sebagai pengganti kepada rokok sebenar untuk ditinggalkan dan berhenti secara perlahan-lahan atau tadarruj.
Alasan seperti ini seolah-olah menghalalkan cara dan penggunaan rokok elektronik dengan berleluasa.
Justeru, Irsyad Fatwa pada kali ini merasa terpanggil untuk membincangkan isu dan hukum berkaitan dengan rokok elektronik ini.
Definisi Rokok Elektrik
Rokok Elektronik (Elecronic Nicotine Delivery Systems atau e-Cigarette) adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi rokok moden. Pada masakini, rokok elektrik juga dikenali sebagai vape atau vapor.
Pendapat Pakar
Dinyatakan di sini beberapa pendapat pakar berkenaan dengan penggunaan rokok elektronik, antaranya :
-Jumlah nicotine yang dalam e-rokok ini berbeza bergantung kenyataan tertulis dalam labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi). Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional.
-Saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok yang telah dikeluarkan oleh dua pengeluar (NJoy dan Smoking Everywhere). Mereka mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs), yang boleh menyebabkan kanser dalam kedua-dua jenama e-rokok itu. Malah kepekatan nikotin yang terdapat dalam e-rokok tidak sama dengan nilai yang ditulis pada label. Terdapat sedikit nicotine dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”.
-Pada September 2008, World Health Organization telah mengeluarkan kenyataan: “tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian nicotine. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok” Lihat http://www.who.int/media…/…/releases/2008/pr34/en/index.html
Hukum
Berdasarkan daripada kenyataan di atas dan juga nas yang dinyatakan maka kami berpendapat bahawa penggunaan rokok elektronik juga hukumnya adalah HARAM. Ini kerana seperti yang kami ‘illahkan atau nyatakan sebab terhadap hukum merokok terpakai untuk isu rokok elektronik ini bahkan kami nyatakan sekali lagi beberapa alasan antaranya:
-Qiyas kepada rokok sebenar
-Kenyataan pakar menunjukkan ia mudarat bahkan boleh jadi lebih mudarat daripada merokok itu sendiri. Ini merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berautoriti.
-Pembaziran
-Meniru budaya yang bukan Islam
-Dilihat tidak bermaruah
Terdapatnya fatwa ulama’ yang menyokong tentang pengharaman rokok elektronik ini. Justeru, kami berpendapat seperti itu juga dengan alasan yang diberikan di atas. Untuk ulasan pengharaman, sila rujuk Bayan Linnas Siri-18.
Fatwa Ulama’
Kami nyatakan di sini fatwa yang dikeluarkan menyatakan hukumnya sama seperti hukum rokok biasa. Justeru, hukumnya adalah haram. (Lihathttp://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php…)
Penutup
Dalam isu ini, ramai juga berpendapat bahawa ia adalah salah satu cara untuk menolong penghisap rokok berhenti daripada merokok. Justeru, ia menggunakan rokok elektronik sebagai alternatif kepada cara berhenti merokok. Sebenarnya anggapan ini adalah menyimpang daripada asas kerana dikatakan ada juga bahan tobacco dan nikotin yang asalnya daripada bahan yang boleh memabukkan dan memberi mudarat kepada kesihatan manusia.
Kami sepertimana isu merokok juga menyeru kepada khalayak umat Islam untuk meninggalkan penggunaan rokok elektronik atau vapor berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas. Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau vapor, kita masukkan ke tabung masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka. Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dan berikan kepada kita kesihatan yang baik. Amin.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber
Ta