Translate

28 August 2014

Model separuh bogel beraksi di tempat awam didenda RM400

Model separuh bogel beraksi di tempat awam didenda RM400


Mahkamah Majistret Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman denda RM400 terhadap sepasang model, gara-gara beraksi separuh bogel di khalayak ramai pada Isnin lalu, selepas kedua-duanya mengaku salah atas perbuatan mereka, lapor Berita Harian Online.
Low Kah Wai, 27, dan How Jo Yee, 21, mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kegusaran am apabila berpakaian menjolok mata ketika melakukan sesi fotografi di lampu isyarat Jalan Sultan Yusof, Ipoh, Perak pada 25 Ogos.
Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama denda sehingga RM400, jika sabit kesalahan.
Majistret Haslinda A Raof yang mendengar kes itu menjatuhkan hukuman denda RM400 setiap seorang atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu, lapor akhbar berkenaan.
Isnin lalu penduduk setempat di kawasan itu terkejut dengan tindakan dua model memperagakan pakaian dalam kerana berada dalam keadaan separuh bogel sedang mengadakan sesi fotografi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, wanita tersebut hanya memakai bikini berwarna putih dan kain layah ala pengantin manakala pasangannya memakai seluar panjang berwarna hitam tanpa baju.
Tindakan dua model itu menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan untuk melihat mereka.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Andrew Soong.
Peguam tertuduh memberitahu mahkamah kedua-dua anak guamnya akan membayar secara tunai denda berkenaan.
Sementara itu, pengurus sebuah galeri perkahwinan yang menganjurkan sesi fotografi dua model berkenaan memberitahu akhbar Utusan Malaysia, ia adalah penggambaran biasa.
Penganjur tersebut yang enggan didedahkan namanya berkata penggambaran menampilkan dua model berpakaian separuh bogel itu adalah sebahagian daripada kreativiti mereka.
Katanya, dia terkejut dengan reaksi orang ramai selepas gambar itu tersebar dalam media sosial.
"Reaksi keterlaluan orang ramai itu kerana mereka tidak biasa melihat wanita berbikini dan berjalan di jalan raya. Bagaimanapun, itu hak mereka untuk mengkritik," katanya kepada akhbar itu.
Jurugambar profesional sejak 20 tahun lalu berkata, dia memilih lokasi fotografi di laluan berkenaan kerana ia bersesuaian dengan konsep dan tema yang ingin ditampilkan. – 27 Ogos, 2014.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED