Walaupun tidak pernah mengumumkan bahawa mereka menjalinkan hubungan cinta, namun semua pihak pasti sudah sedia maklum mengenai keakraban antara Hans Isaac dan Neelofa. Baru-baru ini Neelofa telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan hubungannya dengan Hans telah putus ditengah jalan yang mana tindakan tersebut telah mengejutkan Hans.
“Saya mengakui terkejut apabila dia mengeluarkan kenyataan mengenai hubungan kami kerana kami berdua telah mencapai kata sepakat untuk tidak membuka mulut mengenai hal ini. Saya mengendalikan beberapa syarikat dalam bidang korporat jadi saya tidak mahu dikaitkan dengan perkara sebegini yang mana ia tidak memberikan imej yang begitu baik kepada syarikat saya.
Kami masih lagi berkomunikasi dan berkawan serta masih ada rasa sayang itu pada dia sebagai sahabat. Apa yang boleh saya katakana adalah wang sama sekali tidak menjamin kegembiraan kerana walaupun kini saya ada segalanya tetapi kadang kala timbul rasa kesunyian itu,” ujar Hans ketika ditemui di majls sidang media Supermokh Restaging di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurut Hans, dia cuba untuk memenuhkan jadual hariannya bagi memastikan dia tidak memikirkan perihal peribadinya. Bagi Hans, dia bukannya muda untuk terlalu menghebahkan kisah cintanya kepada umum sebaliknya mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri.
“Bagi saya jika saya ‘down’ maka saya akan penuhkan masa saya dengan kerja serta aktiviti. Bagi saya lebih baik berdiam diri kerana dengan usia saya sekarang ini tidak sewajarnya berperangai seperti budak-budak untuk mengwar-warkan kisah cinta saya. Malah sejak dulu lagi saya tidak suka untuk bercakap mengenai perihal peribadi saya,” ujar Hans.
Dalam perkembangan terkini, Hans berkongsi yang dia begitu teruja dengan teater Supermokh yang dipentaskan buat kali kedua di pentas berprestij Istana Budaya. Masih mengekalkan plot yang sama, Hans berharap agar orang ramai berpeluang untuk menonton teater yang berlatarkan lagenda bola sepak negara ini.
“Walaupun jalan cerita sama namun saya dan Harith Iskander cuba untuk mencipta kelainan agar teater Supermokh kali ini menjadi lebih baik berbanding sebelumnya. Malah kami juga mempergiatkan promosi agar orang ramai tahu mengenai teater ini yang mana ramai yang tidak mengetahui kewujudan teater Supermokh sebelum ini.
Selain menambah beberapa lagu baru, kami juga turut menambahkan kreativiti menerusi tarian yang melibatkan LED. Walaupun teraju utama iaitu Awie turut terlibat dengan masalah peribadi namun kami tidak memandang dari sudut itu sebaliknya fokus kepada bakat yang ada padanya,” ujar Hans mengakhiri perbualan.