Marsha, Sakinah Sedia Dedah Kehidupan Peribadi Pada Umum?
- Details
- Published on Monday, 13 January 2014 11:03
Orang kata kalau sudah bergelar anak seni selain berita-berita tentang perjalanan kerjaya, tidak dapat tidak, hal peribadi seseorang selebriti itu pasti menjadi perhatian. Sesetengah artis mungkin terbuka untuk berkongsi hal peribadi mereka dengan peminat namun ada juga yang sangat berahsia.
Bagi pelakon dan juga penyanyi Marsha Milan Londoh, dia tidak mempunyai masalah untuk berkongsi tentang hal peribadi serta apa juga aktiviti hariannya pada umum menerusi sebuah rancangan realiti TV.
Senang kata, pelakon yang tak kurang seksinya ini bakal bergelar Kim Kardashian Malaysia tidak lama lagi apabila beliau akan menjayakan sebuah program yang seakan-akan sama versi terbitan Hollywood, Keeping Up with the Kardashians.
Difahamkan program tersebut bakal diterbitkan oleh penerbit juga pengarah tidak asing lagi, Michael Ang.
“Michael Ang ada tawarkan pada saya nak buat sebuah program ala-ala Kim Kardashian. Mungkin saya akan bersama-sama dengan pelakon Sharifah Sakinah untuk jayakan program tu. Tapi semuanya masih dalam perbincangan lagi", katanya ketika ditemui pada malam previu filem 'Laga', baru-baru ini.
Sementara itu, ditanya sama ada dia sudah bersedia berdepan dengan kritikan ekoran keberaniannya melakonkan babak diranjang dalam Laga, Marsha berkata, dia sudah bersedia sejak dari awal lagi dengan segala kritikan juga sebarang komen positif mahupun negatif.
“Sebelum tayangan filem ini pun sudah ramai memberikan macam-macam komen, tetapi saya ambil sebagai satu komen yang baik buat diri saya untuk terus memperbaiki lakonan saya.
"Sejak dapat skrip, saya sudah berfikir dan bersedia untuk dikritik terutama apabila saya melakonkan babak diranjang bersama pelakon senior Wan Hanfi Su. Apa yang penting kami berda hanya menghidupkan watak dan menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon,” katanya.
Filem arahan pengarah Ismail Yaacob itu menyingkap kisah dan maruah seorang lelaki bernama Hasan Laga yang diperakui kehebatannya melahirkan anak didik dalam pertandingan sabung ayam yang tiada tolok banding.
Tanpa dijangka, pada satu hari dalam satu pertarungan di medan sabung, Orang Kaya Dasuki berpeluan mencabar ketokohan dan mencalar maruah Hasan angkara rencana paling licik. Dalam pertarungan maruah itu, Ayu, isteri Hasan menjadi cagaran.
Namun helah kotor Orang Kaya Dasuki berjaya dihidu dan dipatahkan oleh anak didik Hassan iaitu Sabri. Maruah Hassan berjaya diselamatkan tetapi tercetus pula konflik lain.
Laga yang menelan kos RM2.8 juta diterajui oleh barisan pelakon hebat iaitu Wan Hanafi Su, Nasir Bilal Khan, Eman Manan serta dibantu oleh Syazwan Zulkifli dan peelakon dari Indonesia, Tyaz Mirasih. Filem tersebut akan ditayangkan di pawagam mulai 23 Januari 2014.
- mD