Ibnor Reza Benarkan Anak Jadi Bintang Kpop
- Details
- Published on Tuesday, 28 January 2014 08:28
Penyanyi era 80-an, Ibnor Riza tidak terkejut apabila anaknya, Putri Norizah mendapat tempat kedua dalam pertandingan akhir program realiti K-Pop Star Hunt musim ketiga pada Sabtu lalu.
Memetik kenyataan di mStar online, Ibnor, 52, berkata, sejak berusia tujuh tahun lagi anaknya menunjukkan minat dalam bidang nyanyian sehinggalah dia berjaya mengikat kontrak bersama syarikat pengurusan artis terkenal Korea iaitu CJ E&M selepas pertandingan berkenaan.
"Jika dia kalah pun saya tidak terkejut kerana ini bukan kali pertama dia menyertai pertandingan seperti ini malah ia adalah cubaan ketiga dia memasuki program tersebut.
"Ternyata sikap tidak berputus asa akhirnya membuahkan hasil yang positif," katanya.
Putri, 22, mendapat tempat kedua dalam program realiti itu pada pertandingan akhir yang diadakan di Singapura.
Menyampaikan dua buah lagu iaitu There is No Love nyanyian asal penyanyi Korea, Gummy dan sebuah lagu berbahasa Inggeris daripada Leona Lewis berjudul Homeless.
Bagaimanapun Putri tewas kepada peserta Taiwan Andy Su, 15, yang menyampaikan lagu dendangan G-Dragon.
K-Pop Star Hunt 3 adalah sebuah program pencarian bakat dari seluruh rantau Asia termasuk Hong Kong, Singapura, Filipina, Taiwan, Thailand dan Indonesia untuk dididik menjadi bintang K-Pop.
Putri dipilih untuk mewakili Malaysia bersama seorang lagi peserta iaitu Ryan Thoo, 23, selepas berjaya dalam satu uji bakat di Kuala Lumpur tahun lalu.
Kedua-dua mereka telah diterbangkan ke Seoul untuk menjalani latihan di bawah syarikat rakaman, FNC Entertainment yang menguruskan bintang K-Pop iaitu CN Blue dan FT Island.
Putri adalah salah satu daripada empat finalis yang terselamat bersama-sama dengan Any termasuk Stephanie Koh, 21, (Singapura) dan Siriburee Chananan, 18 (Thailand).
sumber: mStar online