Marion Counter Jawab Gosip Ke Set Lokasi Dengan Jet Peribadi
- Details
- Published on Wednesday, 29 January 2014 09:48
Bergelar pengacara selebriti bertaraf antarabangsa, Marion Counter cukup bertuah apabila dia bukan saja mampu hidup mewah bahkan seringkali mendapat layanan istimewa daripada pihak produksi. Ini berikutan timbul khabar angin mengatakan wanita jelita ini kerap diterbangkan dengan jet peribadi ke set lokasi penggambaran.
"Hanya sekali-sekala. Tapi saya tak terlalu memikirkan tentang semua itu. Apa yang penting ialah saya sentiasa inginkan kesihatan yang baik, keluarga dan anak-anak saya sihat dan kami hidup gembira. Pada saya kemewahan itu adalah bonus.
"Ya, saya dianggap bertuah tapi saya juga lalui banyak perkara getir dalam hidup saya. Ayah saya meninggal dunia di ketika usia saya masih muda, adakah saya dikira bertuah? Setiap orang melalui suka duka hidup mereka sendiri. Dan Alhamdulillah... saya bersyukur dengan apa yang saya perolehi hari ini", kata hos prorgam E! News Asia ini kepada pihak media ketika temui di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, semalam.
Marion atau nama sebenarnya Marion Rose Counter Abdullah, 33, berkata demikian tatkala diminta mengulas desas desus dia dikatakan sering mendapat layanan istimewa semasa bertugas juga perasaannya menjalani hidup dalam serba kemewahan.
Dalam pada itu Marion mengakui sebagai seorang selebriti gerak gerinya sering menjadi perhatian ramai. Lebih-lebih lagi di zaman sekarang, laman sosial menjadi penghubung utama antara artis dan peminat. Sama seperti kebanyakan artis yang suka berkongsi apa saja aktiviti mereka menerusi Instagram, Marion juga tidak terkecuali.
Ironinya setiap kali dia memuatnaik gambar di laman sosial instagramnya, ada saja komen dari peminat samada komen positif mahupun negatif.
Bagi ibu dua cahaya mata ini, dia tidak kisah dengan segala kritikan yang dilemparkan teradap dirinya. Namun dia tidak boleh terima jika anak-anaknya juga turut menjadi bahan kritikan.
"Memang, ada juga yang memeri komen yang kejam dan menyakitkan hati. Tapi oleh kerana saya pilih untuk tidak privasikan Instagram saya, jadi saya sedia menerima apa saja kritikan baik postif atau negatif. Kalau saya tak boleh terima, saya haruslah privasikan akaun saya.
"Sebenarnya kadang-kadang saya tak faham pun apa yang mereka kritik tentang saya sebab slang-slang yang digunakan oleh mereka memang sukar untuk saya faham. Jadi, saya buat tak kisah sajalah. Saya pun dah biasa dengan kritikan sejak dari sekolah menengah lagi.
"Tapi saya tak boleh kalau orang bercakap buruk pasal anak saya. kenapa mereka nak 'serang' kanak-kanak dan bayi yang tak berdosa. Niat saya hanya mahu berkongsi dengan peminat. Itu saja. Disebabkan kritikan negatif yang dilemparkan terhadap anak saya, sekarang ni saya dah jarang muatnaik gambar anak-anak saya", ujarnya.
Marion berkahwin dengan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Naza, SM Nasaruddin pada 16 Disember 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Leia Rose Counter (3 tahun), dan Lana Rose Counter (3 bulan).
Berkongsi mengenai kehidupannya kini, Marion berkata fokus utamanya kini lebih kepada menguruskan anak-anak dan keluarga berbanding menumpukan perhatian pada kerjayanya.
"Saya bahagia dengan suami dan anak-anak. Kalau diizinkan saya ingin seorang lai cahaya mata, tapi nak anak lelaki.
"Sejak berkahwin saya dah perlahankan aktiviti seni saya. Saya terfikir juga nak berhenti kerja. Tapi bila produksi panggil saya untuk buat program, saya tak fikir panjang dan terus bersetuju. Saya rasa saya masih suka dengan kerja saya. Tapi saya tetap utamakan keluarga saya. Saya akan berhenti kerja kalau nanti saya sudah mula merungut dan tak suka dengan kerja saya" katanya.
Bersuamikan seorang ahli koporat terkenal, Marion tidak terlepas berdepan dengan dugaan suaminya dikaitkan dengan wanita lain.
"Saya percaya suami saya. Dan dia juga percaya pada saya. Orang boleh bercakap apa saja. Saya seorang yang sangat tabah. Selagi kami saling percaya mempercayai, semua gosip tak sikit pun menggugat rumah tangga kami", katanya ketika diminta mengulas mengenai hal tersebut.
- mD