Marinatasha Malu Diaibkan Depan 100 Tetamu
- Details
- Published on Wednesday, 22 January 2014 08:01
Hanya kerana dia berhijab, tidak semena-mena dirinya diaibkan di hadapan kira-kira 100 tetamu. Kejadian berlaku sebuah majlis makan malam. Ketika baru hendak membuat persembahan tiba-tiba dia diarahkan serta-merta turun daripada pentas.
Itu yang terjadi kepada seorang penyanyi baharu, Marinatasha Isnariah Mustapar, 33 atau lebih dikenali sebagai Marinatasha.
Menjelaskan lebih lanjut, dia berkata insiden yang dialaminya itu berlaku sewaktu diundang membuat persembahan majlis makan malam tahunan sebuah syarikat pemaju hartanah di Pusat Konvensyen Sime Darby, 18 Januari lalu.
"Saya dijemput oleh syarikat tersebut untuk membuat persembahan sepanjang majlis itu berlangsung bersama kumpulan Rufus.
"Ketika itu saya sudah pun berada di atas pentas. Belum sempat membuat persembahan saya diarahkan oleh pengarah kewangan syarikat itu untuk turun dari pentas atas alasan saya berhijab. Saya terpaksa akur dengan arahan tersebut. Saya rasa sangat malu kerana sudah bersiap sedia tambahan pula insiden ini berlaku dihadapan lebih kurang seratus tetamu," katanya pada sidang media anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bertempat di Damansara, petang semalam.
Tambah penyanyi yang juga merupakan bekas pelajar Akademi Seni Kebangsaan ini, semasa sesi latihan beberapa hari sebelum majlis berlangsung, dia tidak di maklumkan bahawa penyanyi berhijab tidak dibenarkan untuk membuat persembahan.
"Pada 16 Januari, saya ada membuat latihan bersama pemuzik yang terlibat. Ketika itu wakil syarikat terbabit turut hadir sama tapi mereka tidak membangkitkan imej hijab saya.
"Hanya semasa hari majlis itu, pegawai kewangan syarikat tersebut timbulkan isu ini atas alasan imej saya tidak bersesuaian dengan majlis sedangkan ramai tetamu yang hadir turut berhijab," tuturnya dengan nada sebak.
Tambahnya, selepas diarahkan turun dari pentas, pegawai kewangan terbabit telah meminta seorang penyanyi membuat persembahan dan dia hanya dibenarkan berada di pentas sebagai penyanyi latar sahaja.
"Saya amat berterima kasih kepada Farina (Akademi Fantasia 8) yang turut membuat persembahan pada malam itu kerana menjemput saya ke pentas untuk membuat persembahan dengan dua buah lagu.
"Namun selepas turun dari pentas saya dipanggil dan dimarahi oleh pegawai kewangan tersebut kerana membuat persembahan," jelasnya.
Katanya, perkara itu tidak seharunya berlaku kerana tetamu yang hadir terhibur dengan persembahannya.
"Saya lihat tetamu malam itu tidak ada masalah dengan penampilan saya. Tapi kurang jelas kenapa perkara ini boleh berlaku kerana yang menyanyi mulut saya, bukannya tudung saya.
"Perkara yang berlaku ini amat saya kesali dan tidak sepatutnya berlaku. Saya ketengahkan perkara ini supaya insiden yang sama tidak akan berulang kepada wanita berhijab.
Karyawan Gesa Mohon Maaf
Dalam pada itu, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez yan turut hadir pada sidang media tersebut menggesa pihak atasan pengurusan syarikat berkenaan tampil memohon maaf.
Dalam pada itu, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez yan turut hadir pada sidang media tersebut menggesa pihak atasan pengurusan syarikat berkenaan tampil memohon maaf.
"Pihak Karyawan menjemput pihak atau wakil syarikat tersebut tampil untuk memohon maaf tidak kira sama ada secara terbuka atau tertutup. Kami akan beri peluang kepada mereka", katanya sekaligus mengharapkan agar perkara ini diselesaikan dengan baik dan menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Tambah Freddie lagi, perkara ini tidak perlu berlaku kerana ianya melibatkan sensitiviti agama.
"Saya tidak nampak imej hijab sebagai masalah besar sebab sekarang kita sudah ada ramai bintang popular yang turut berhijab.
"Jadi perkara ini seharusnya tidak berlaku. Mereka patut hormati dan tidak menyentuh soal sensitiviti agama lain kerana ia akan menjejaskan perpaduan dalam negara ini," tegasnya.
- mD