JPJ laksana Op Mengejut Puspakom di seluruh negara hari ini
Bernama
30/12/2024
Dalam tempoh dua jam, 115 lori diperiksa, 69 notis saman dikeluarkan, dan tujuh kenderaan disita. Beberapa kesalahan termasuk penggunaan tayar celup yang tidak selamat dikesan. -Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Op Mengejut Puspakom serentak di seluruh negara bermula 9.30 pagi tadi melibatkan 350 pegawai dan anggota bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mematuhi standard yang ditetapkan.
JPJ melaksanakan Op Mengejut Puspakom di seluruh negara tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada Puspakom, melibatkan 350 pegawai dan anggota untuk memastikan kenderaan mematuhi standard.
Dalam tempoh dua jam, 115 lori diperiksa, 69 notis saman dikeluarkan, dan tujuh kenderaan disita. Beberapa kesalahan termasuk penggunaan tayar celup yang tidak selamat dikesan.
Penyelia dan kakitangan Puspakom yang bertanggungjawab diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ untuk disoal siasat, dan satu kertas siasatan akan dibuka.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata operasi itu dilakukan tanpa memaklumkan kepada pihak Puspakom terlebih dahulu seperti arahan daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang ingin JPJ melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa.
"Fasa pertama ialah sekatan jalan raya yang telah dilakukan JPJ di lebuh raya terpilih manakala fasa kedua ialah pemeriksaan secara mengejut di Puspakom seperti kami lakukan hari ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi itu di Puspakom Wangsa Maju di sini hari ini.
Turut sama menyertai operasi itu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam.
Dalam operasi itu, Muhammad Kifli berkata dalam tempoh dua jam sahaja, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 115 lori dan mengeluarkan 69 notis saman serta 29 kenderaan telah diambil tindakan manakala tujuh kenderaan, iaitu lima kereta dan dua lori disita.
Beliau berkata pihaknya mengesan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori antaranya menggunakan tayar celup yang tidak selamat dan berada dalam keadaan uzur yang mungkin boleh meletup pada bila-bila masa.
"Ketua Setiausaha MOT telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan jika tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kemalangan," katanya.
Muhammad Kifli turut mendedahkan pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju juga mendapati sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom terbabit.
Susulan itu, beliau berkata penyelia dan kakitangan Puspakom yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ esok untuk disoal siasat serta satu kertas siasatan akan dibuka dan kemas kini akan diberikan apabila maklumat lanjut diterima.
-- BERNAMA