Translate

31 December 2024

Akta 861 berkuat kuasa esok, ke arah peralihan tenaga mampan



Akta 861 berkuat kuasa esok, ke arah peralihan tenaga mampan

Bernama

31/12/2024


Akta ini mewajibkan pengguna tenaga besar melantik pengurus tenaga berdaftar, melaksanakan sistem pengurusan tenaga, menyediakan laporan kecekapan tenaga, dan menjalankan audit tenaga.


PUTRAJAYA: Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 (Akta 861) dan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 akan berkuat kuasa esok, sebagai usaha merealisasikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 (Akta 861) dan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 akan berkuat kuasa esok, bertujuan menjadikan Malaysia lebih mampan tenaga.

Akta ini mewajibkan pengguna tenaga besar melantik pengurus tenaga berdaftar, melaksanakan sistem pengurusan tenaga, menyediakan laporan kecekapan tenaga, dan menjalankan audit tenaga.

Produk menggunakan tenaga perlu memenuhi standard prestasi tenaga minimum (MEPS) dan mempamerkan label penarafan kecekapan tenaga.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan Akta 861 yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dan diwartakan pada 26 Nov lepas itu, akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih mampan tenaga.

"Akta ini, yang terdiri daripada 10 bahagian utama merangkumi antaranya kewajipan pengguna tenaga dan diperluas kepada pengawalseliaan produk menggunakan tenaga (EUP), akan dilaksanakan di bawah pengawalseliaan ST sebagai agensi penguatkuasaan yang bertujuan meningkatkan lagi kecekapan dan konservasi tenaga," menurut kenyataan itu.

ST memberitahu antara perkara utama yang digariskan dalam akta itu ialah kewajipan pengguna tenaga yang menggunakan tenaga menyamai atau melebihi ambang 21,600 GJ setahun untuk melantik pengurus tenaga berdaftar, membangunkan dan melaksanakan sistem pengurusan tenaga, menyediakan laporan kecekapan tenaga, dan menjalankan audit tenaga.

Selain itu, keperluan penarafan kecekapan tenaga bagi bangunan yang disenaraikan di dalam Jadual Ketiga akta, iaitu bangunan dikehendaki mempamerkan label intensiti tenaga dan memenuhi standard kecekapan tenaga minimum.

Perkara lain yang terkandung dalam akta itu ialah keperluan pendaftaran terhadap pengilang dan pengimport produk menggunakan tenaga, dengan produk yang berkaitan perlu memenuhi standard prestasi tenaga minimum (MEPS), mempamerkan label penarafan kecekapan tenaga dan menggalakkan penggunaan produk cekap tenaga dalam pasaran.

Terdapat juga keperluan pendaftaran bagi pengurus tenaga dan juruaudit tenaga termasuklah keperluan untuk kelayakan akademik dan profesional tertentu bagi meningkatkan standard profesional dalam pengurusan tenaga; dan pendaftaran institusi latihan yang terlibat dalam latihan berkaitan dengan kecekapan tenaga.

ST memaklumkan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 yang memperincikan keperluan pelantikan pengurus tenaga, sistem pengurusan tenaga, audit tenaga dan pelaporan kecekapan tenaga, akan melengkapkan penguatkuasaan Akta 861.

Antara inti pati penting di bawah Peraturan-Peraturan itu ialah tanggungjawab pengguna tenaga untuk melantik pengurus tenaga berdaftar dalam kalangan pekerja mereka sekiranya penggunaan tenaga melebihi ambang penggunaan yang telah ditetapkan.

"Laporan audit tenaga juga hendaklah dikemukakan kepada ST mengikut tempoh yang ditetapkan. Peraturan-Peraturan itu memperuntukkan keperluan bagi label intensiti tenaga untuk bangunan dan label terbabit perlu diperbaharu setiap tahun," menurut kenyataan itu.

ST menjelaskan produk menggunakan tenaga juga diwajibkan untuk memenuhi standard MEPS dan mempamerkan label penarafan kecekapan tenaga dan secara kesimpulannya, peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan ini akan memastikan pelaksanaan Akta 861 dibuat secara menyeluruh dan konsisten.

Menurut ST, susulan daripada penguatkuasaan Akta 861, Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik dengan Cekap 2008 di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] akan dibatalkan melalui Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik dengan Cekap (Pembatalan) 2024.

Langkah itu, menurut kenyataan berkenaan bertujuan memastikan keselarasan dasar dan peraturan tenaga yang lebih moden dan relevan untuk menyokong keperluan masa kini.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED