Translate

19 November 2024

Penggunaan sistem 'autogate' di KLIA tak kompromi keselamatan - Saifuddin



Penggunaan sistem 'autogate' di KLIA tak kompromi keselamatan - Saifuddin

Astro Awani

19/11/2024


Saifuddin berkata setakat ini pengembara dari 63 buah negara dibenarkan menggunakan sistem pagar automatik di KLIA Terminal 1 dan 2 - Foto/ Jabatan Penerangan Malaysia


KUALA LUMPUR: Penggunaan sistem pagar automatik (autogate) di pintu masuk Malaysia yang diperluaskan kepada pengembara dari 63 buah negara tidak kompromi keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini terdapat 10 'autogate' masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1 dan 2) bagi menerima kehadiran pengembara termasuk rakyat Malaysia.

"Apakah sistem 'autogate' kompromi keselamatan? Jawapannya tidak. Walaupun kita tak cop pasport (pengembara) tetapi bila dia masuk situ kita imbas gambar (individu terbabit). Itu cukup untuk kita simpan rekod.

"Jadi aspek keselamatan dikompromi dengan pengguna 'autogate', itu tidak berlaku. Satu dunia ketika ini bergerak ke arah sistem itu... Kalau negara jiran kita, semua guna 'autogate'," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai sejauh mana sistem pagar automatik berkesan dari segi keselamatan.

Saifuddin ketika menjawab soalan asal turut memaklumkan keputusan membenarkan warga asing dari 63 buah negara menggunakan 'autogate' dibuat kerana kadar kemasukan pengembara asing yang tinggi ke dalam negara.

Jelas beliau, setakat 31 September lalu seramai 32 juta pengembara memasuki Malaysia, dengan kira-kira lapan juta memasuki melalui KLIA.

"Rakyat Malaysia yang sampai melalui KLIA adalah seramai 2.7 juta. Jadi saya jelaskan ini, kita buat keputusan asalnya penggunaan 'autogate' hanya untuk rakyat Malaysia. Tetapi disebabkan ketibaan pelancongan (yang ramai), kita buka pintu automatik tersebut kepada 63 buah negara.

"Pada masa puncak iaitu 11 pagi hingga 9 malam di semua KLIA, sebanyak 60 kaunter manual dan 10 'autogate' dibuka, manakala sebanyak 38 kaunter manual dan 10 'autogate' dibuka di KLIA2," jelas Saifuddin.

Sebelum itu, Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) bertanya apakah inisiatif dan langkah-langkah yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kementerian bagi menangani kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan KLIA.

Antara negara yang dimasukkan dalam senarai tersebut adalah 26 buah negara daripada Kesatuan Eropah dan negara dari Asia, termasuk China, Hong Kong, Bahrain, Kuwait, Jordan, Oman serta Qatar.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED