Translate

16 November 2024

Banduan tahanan rumah akan dipakaikan peranti pengesan apabila akta direalisasikan - Saifuddin



Banduan tahanan rumah akan dipakaikan peranti pengesan apabila akta direalisasikan - Saifuddin

Bernama

16/11/2024


Saifuddin menanam pokok jenis Adenium atau dikenali dengan Pokok Bunga Kemboja Cina pada Program Satu Pemimpin Satu Kampung Santuni MADANI di SMK Tanjong Bunga hari ini. - Gambar Bernama


PASIR MAS: Banduan yang menjalani tahanan rumah akan dipakaikan dengan alat peranti pengesan sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) akta baharu tahanan rumah yang dicadangkan diluluskan Parlimen, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pemakaian alat itu bertujuan untuk mengesan kedudukan banduan yang sedang menjalani perintah di bawah akta terbabit.

"Undang-undang sedia ada ketika ini tidak mempunyai peruntukan yang membolehkan pesalah menjalani hukuman di tahanan rumah.

"Oleh itu, RUU akta baharu ini juga mampu membantu mengurangkan masalah kesesakan dalam penjara yang ketika ini sedang berlaku di penjara seluruh negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni MADANI Komisioner Jeneral Penjara di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Bunga di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata berdasarkan rekod jumlah banduan di seluruh negara ketika ini mencecah 87,000 orang sedangkan kapasiti penjara hanya mampu menampung 74,000 orang.

"Oleh itu, kementerian saya menyasarkan 28,000 banduan menjalani tahanan reman di rumah apabila akta ini direalisasikan," katanya.

Beliau berkata RUU akta berkenaan hanya akan melibatkan pesalah yang berstatus tahanan reman dalam penjara dan tidak melibatkan pesalah yang terlibat jenayah berat seperti rogol atau dadah.

Saifuddin Nasution berkata Kabinet juga telah memberikan keputusan dasar untuk memulakan RUU akta itu dan kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED