Paus Orca guna teknik buruan baharu bunuh jerung paus, kata saintis
Bernama
29/11/2024
Erick Higuera Rivas menjelaskan, Orca menggunakan teknik pemburuan kerjasama canggih, dengan khusus menyasarkan bahagian pelvik jerung paus. - Gambar Adobe Stock Image
MEXICO CITY: Sekumpulan paus pembunuh atau Orca di perairan Mexico mungkin mengembangkan teknik pemburuan baharu untuk memburu jerung paus, ikan terbesar di dunia, lapor agensi berita Jerman (dpa) berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Frontiers in Marine Science pada Jumaat.
Ahli biologi marin Erick Higuera Rivas, penulis utama kajian itu menjelaskan dalam satu kenyataan, Orca menggunakan teknik pemburuan kerjasama canggih, dengan khusus menyasarkan bahagian pelvik jerung paus.
Taktik ini menyebabkan jerung mengalami pendarahan sekali gus membolehkan orca mendapatkan akses kepada hati jerung yang kaya dengan nutrien, katanya.
Ini merupakan kali pertama serangan seperti itu didokumenkan secara terperinci.
Jerung paus atau Rhincodon typus, boleh membesar sehingga 20 meter panjang dan seberat 34 tan. Ia mampu hidup sehingga 100 tahun.
Menurut yayasan alam sekitar WWF, kulit tebal jerung paus, yang boleh mencapai sehingga 15 sentimeter, berkemungkinan merupakan yang paling tebal antara semua makhluk hidup.
Jerung paus yang lebih muda dan kecil, biasanya sepanjang tiga hingga tujuh meter, sering ditemukan di perairan Mexico dan kadangkala menjadi mangsa orca.
Para penyelidik meneliti empat serangan antara 2018 hingga 2024 di pelbagai lokasi di Teluk California, dengan mengenal pasti orca secara individu melalui sirip dorsal dan parut mereka. Seekor orca yang dinamakan Moctezuma, sempena nama pemerintah Aztec, terlibat dalam tiga daripada serangan itu.
-- BERNAMA