Translate

17 November 2024

Penerbangan sulung AAX ke Nairobi rekod faktor muatan penumpang 90 peratus



Penerbangan sulung AAX ke Nairobi rekod faktor muatan penumpang 90 peratus

Bernama

17/11/2024


AAX melancarkan penerbangan sulung secara terus dari Kuala Lumpur ke Nairobi pada 15 Nov 2024. - Foto BERNAMA


NAIROBI (Kenya): AirAsia X Bhd (AAX), syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh melancarkan penerbangan sulung secara terus dari Kuala Lumpur ke Nairobi, Kenya pada 15 Nov, 2024 yang menandakan penembusan pertamanya ke Afrika Timur dengan faktor muatan penumpang hampir 90 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Benyamin Ismail berkata penerbangan AAX empat hari seminggu dari Kuala Lumpur-Nairobi kini merupakan satu-satunya penerbangan terus yang menghubungkan Malaysia dan Afrika.

Beliau berkata faktor muatan sebanyak 90 peratus ini, bersamaan dengan kira-kira 278 penumpang dalam pesawat.

Manakala penerbangan balik dari Nairobi ke Kuala Lumpur mencatatkan sekitar 75 peratus muatan penumpang.

"Profil penumpang dari Kuala Lumpur ke Nairobi menyaksikan penumpang warga Australia, Cina, Malaysia dan Kenya yang kembali ke tanah air.

"Bagi 75 peratus penumpang yang terbang ke Kuala Lumpur, 90 peratus adalah warga Kenya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Benyamin berkata jika faktor muatan kekal sekitar 85 peratus bagi setiap perjalanan, beliau yakin sasaran membawa lebih 156,000 pengembara setiap tahun di laluan itu boleh dicapai, malah melebihi daripada jumlah berkenaan.

Mengulas pengambilalihan syarikat AAX, perniagaan syarikat penerbangan Capital A Bhd, Pengasas Bersama dan Pengerusi Eksekutif Capital A Datuk Kamarudin Meranun berkata jika tiada sebarang keadaan yang diluar jangka, usaha niaga itu berada di landasan yang betul untuk diselesaikan sama ada pada akhir bulan ini atau awal Disember, seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata syarikat itu telah melalui semua proses yang diperlukan dan ia kini sedang menunggu kebenaran mahkamah mengenai cadangan pengagihan saham kepada pemegang saham melalui pengurangan modal.

Pada Oktober 2024, sebanyak 99.08 peratus pemegang sahamnya mengundi menyokong cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti Capital A dalam perniagaan penerbangan AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB) dengan harga RM6.8 bilion.

Susulan pengambilalihan itu, Kamarudin berkata syarikat berkenaan akan terus meneroka dan berkembang ke lebih banyak destinasi pada masa hadapan, terutamanya destinasi yang kurang mendapat perkhidmatan.

"Kami sentiasa memerhatikan keadaan ini," katanya.

Sementara itu, terdahulu dalam ucapannya, Pengerusi AAX Datuk Fam Lee Ee berkata sehingga kini AAX mengendalikan penerbangan ke lebih 20 destinasi dari Malaysia.

"Penerbangan terus baharu ini lebih daripada sekadar hubungan antara dua bandar, kerana ia mewakili pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Kenya, dan kami juga melihat potensi besar untuk kerjasama perniagaan yang saling menguntungkan bagi pengembara di kedua-dua negara.

"Kami yakin laluan baharu ini akan memudahkan perniagaan di Malaysia dan Kenya untuk berinteraksi antara satu sama lain, memupuk peluang perdagangan dan pelaburan yang akan memacu pertumbuhan ekonomi kedua-dua pihak," katanya.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya Ruzaimi Mohamad dan Ketua Pengarah Asia dan Pasifik Kementerian Luar Negeri Kenya Duta Besar Jane Makori.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED