Translate

25 September 2020

COVID-19 Malaysia Update – KKM DG Hisham


Kenyataan Akhbar KPK 25 September 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 30 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,696 kes (90.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 25 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 111 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,687 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 858 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 111 kes baharu yang dilaporkan, empat (4) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan bukan warganegara dari negara:

  • Indonesia: Dua (2) kes
    • Satu (1) kes dilaporkan di Selangor yang melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI); dan
    • Satu (1) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • India: Satu (1) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Singapura: Satu (1) kes dilaporkan di Johor.

Daripada 107 kes penularan di dalam negara, 76 kes adalah warganegara Malaysia dan 31 kes adalah bukan warganegara. Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:

  • Sabah: 97 kes
    • 74 kes daripada Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan 48 kes warganegara dan 26 kes bukan warganegara;
    • 13 kes daripada Kluster Benteng LD yang kesemuanya melibatkan warganegara;
    • Dua (2) kes daripada Kluster Laut yang melibatkan bukan warganegara;
    • Dua (2) kes saringan rujukan ke hospital yang melibatkan warganegara;
    • Dua (2) kes saringan di tempat kerja yang melibatkan satu (1) warganegara dan satu (1) bukan warganegara;
    • Dua (2) kes saringan bergejala yang melibatkan satu (1) warganegara dan satu (1) bukan warganegara;
    • Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Tawau yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) yang melibatkan warganegara.
  • Kedah: Lapan (8) kes
    • Tujuh (7) kes daripada Kluster Sungai yang melibatkan enam (6) warganegara dan satu (1) bukan warganegara; dan
    • Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah yang melibatkan warganegara.
  • Pahang: Satu (1)
    • Satu (1) kes saringan bergejala yang melibatkan warganegara. Kes mempunyai sejarah pulang dari Semporna, Sabah.
  • Selangor: Satu (1) kes
    • Satu (1) kes saringan bergejala yang melibatkan warganegara. Kes mempunyai sejarah pulang dari Kota Kinabalu, Sabah.

Sehingga kini, terdapat empat (4) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga (3) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 133 kes (1.24 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

KLUSTER BAHARU DI JOHOR: KLUSTER ORKIM

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat satu kluster baharu terpencil telah dikenalpasti Johor. Kluster ini melibatkan krew kapal yang berlabuh di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor. Kes pertama bagi kluster iaitu kes ke-10572 merupakan salah seorang krew kapal yang merupakan warganegara Indonesia. Beliau telah sign-on di Singapura pada 10 September 2020. Kes mula bergejala demam, batuk, sesak nafas, cirit-birit dan muntah sejak 13 September 2020 namun tidak memaklumkan kepada majikan. Beliau telah sign-off pada 17 September 2020 dan hanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta pada 22 September 2020. Beliau seterusnya dirujuk ke Hospital Permai, Johor di mana beliau didapati positif COVID-19 pada 23 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor.

Hasil saringan krew kapal yang lain mendapati satu (1) lagi kes positif yang juga merupakan warganegara Indonesia. Kes positif kedua ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor. Seramai 30 krew kapal yang bertugas dalam kapal ini telah disaring. Daripada jumlah ini:

  • Dua (2) kes dikesan positif COVID-19;
  • 24 individu adalah negatif; dan
  • Empat (4) individu masih menunggu keputusan.

Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di kapal tersebut. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

STATUS TERKINI BAGI TIGA (3) KLUSTER DI SABAH DAN SATU (1) KLUSTER DI KEDAH

Kluster Bangau-Bangau

Terdapat 74 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Bangau-Bangau pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 134 kes. Sehingga 25 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 180 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan adalah seperti berikut:

  • 134 kes dikesan positif COVID-19 (74 kes baharu);
  • 37 individu dikesan negatif COVID-19; dan
  • Sembilan (9) individu masih menunggu keputusan.

Daripada jumlah 134 kes positif COVID-19, 90 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 44 adalah warganegara Filipina.

Kluster Benteng LD

Terdapat 13 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Benteng LD pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 743 kes. Sehingga 25 September 2020 jam 12:00 tengah hari, sejumlah 10,634 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan mengikut daerah adalah seperti berikut:

  • Tawau (8,054 individu disaring);
    • 576 kes dikesan positif COVID-19 (6 kes baharu);
    • 6,136 individu negatif; dan
    • 1,342 individu menunggu keputusan.
  • Lahad Datu (2,574 individu disaring):
    • 164 kes dikesan positif COVID-19 (5 kes baharu);
    • 1,901 individu negatif; dan
    • 509 individu menunggu keputusan.
  • Kinabatangan (5 individu disaring):
    •   Dua (2) kes dikesan positif COVID-19 (2 kes baharu); dan
    •   Tiga (3) individu negatif.
  • Sandakan – Satu (1) kes dikesan positif COVID-19, tiada saringan dan pertambahan kes baharu.

Berdasarkan keseluruhan saringan bagi kluster ini, pecahan saringan melibatkan:

  • 1,771 orang banduan dan tahanan di mana 620 kes dikesan positif COVID-19;
  • 1,160 orang kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau di mana 24 kes dikesan positif COVID-19;
  • 1,394 orang kontak ahli keluarga kakitangan dan banduan di mana 27 kes dikesan positif   COVID-19;
  • 1,534 orang pegawai agensi kerajaan lain, tiada kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 4,775 kontak sosial di mana 72 kes dikesan positif COVID-19.

Daripada jumlah 743 kes positif COVID-19, 428 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 315 kes adalah bukan warganegara yang melibatkan negara:

  • Filipina (202 kes); dan
  • Indonesia (113 kes).

Ingin dimaklumkan bahawa jumlah kes akan sentiasa dikemaskini dan kategori bagi kes positif mungkin akan berubah bergantung kepada maklumat terkini hasil siasatan di lapangan. 

Kluster Laut

Terdapat dua (2) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Laut pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 24 kes. Sehingga 25 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 533 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan adalah seperti berikut:

  • 24 kes dikesan positif COVID-19 (2 kes baharu);
  • 353 individu negatif; dan
  • 156 individu menunggu keputusan.

Kesemua 24 kes positif COVID-19 dalam kluster ini adalah di kalangan warganegara Filipina.

Kluster Sungai

Terdapat tujuh (7) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Sungai pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 98 kes. Sehingga 25 September 2020 jam 12:00 tengah hari, sejumlah 25,273 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan mengikut negeri adalah seperti berikut:

  • Kedah (25,053 individu disaring):
    • 97 kes dikesan positif COVID-19 (7 kes baharu);
    • 24,850 individu negatif; dan
    • 106 individu menunggu keputusan.
  • Pulau Pinang (142 individu disaring):
    • 142 individu negatif.
  • Perlis (78 individu disaring):
    • Satu (1) kes dikesan positif COVID-19; dan
    • 77 individu negatif.

Daripada 98 kes positif dalam kluster ini, 97 kes merupakan warganegara Malaysia dan satu (1) kes merupakan warganegara Thailand.

Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) bagi kluster-kluster ini masih diteruskan dan status terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

PENILAIAN RISIKO PENULARAN COVID-19 DI NEGERI SABAH

Sehingga 25 September 2020, masih terdapat lima (5) kawasan di Malaysia yang sudah bertukar menjadi zon merah. Terdapat empat (4) zon merah di Sabah  (Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna) dan satu (1) zon merah di Kedah iaitu Kota Setar.

Seperti dimaklumkan dalam Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 24 September 2020, individu bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan COVID-19 di fasiliti kesihatan berhampiran. Individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah juga amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat di sekitarnya. Sebarang perubahan kepada arahan ini akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa. Elakkan mempercayai dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau palsu.

Daripada situasi terkini, didapati jumlah kes positif COVID-19 di negeri Sabah masih tetap meningkat. Seperti diumumkan, 97 lagi kes positif COVID-19 dilaporkan pada hari ini di negeri Sabah. Tambahan pula, didapati terdapat 10 kes yang dikesan positif COVID-19 setelah kembali dari Sabah pada Minggu Epid ke-39 (iaitu 20 September 2020 hingga hari ini). Kesemua mereka ini telah diasingkan dan kini mendapat rawatan di hospital. Pengesanan kontak bagi kesemua kes ini juga giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang berkaitan.

Keputusan terkini yang baru diterima dari makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan 23 virus COVID-19 yang diasingkan dan dikultur daripada Kluster Benteng LD di Sabah didapati mempunyai mutasi D614G, namun ianya tidak berkaitan dengan virus COVID-19 mutasi D614G yang ditemui di kluster-kluster di negeri Kedah.

Oleh itu, berdasarkan penilaian risiko seperti di atas, KKM menggesa semua masyarakat di Sabah untuk lebih berwaspada dan meningkatkan pematuhan Prosedur Amalan Standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk semasa tempoh berkempen bagi Pilihanraya Negeri Sabah dan semasa hari mengundi. Seperti resmi budaya kita di Malaysia, masyarakat sangat digalakkan untuk saling tegur menegur antara satu sama lain dalam mematuhi SOP, agar kita dapat saling melindungi diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita daripada jangkitan COVID-19.

KKM menggalakkan masyarakat untuk keluar mengundi namun dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan di pusat mengundi dan amalkan penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizers, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat. Dapatkan bantuan kesihatan sekiranya anda bergejala.

Penuhilah tanggungjawab dan hak mengundi anda dengan baik. KKM juga akan terus meningkatkan kesiapsagaan di lapangan, klinik-klinik, makmal-makmal dan hospital bagi terus berusaha membendung penularan COVID-19 di Sabah.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
  • Elakkan bersalaman / bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung; 
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:

  • S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P : Penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter diamalkan pada setiap masa.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

25 September 2020 @ 5.00 petang.

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 25 SEPTEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
W.P. KUALA LUMPUR2 (2)2,652
SELANGOR2 (1)2,222
SABAH971,483
NEGERI SEMBILAN01,044
JOHOR1 (1)754
SARAWAK0703
PAHANG1372
KEDAH8352
PERAK0269
MELAKA0262
KELANTAN0161
PULAU PINANG0142
TERENGGANU0114
W.P. PUTRAJAYA099
PERLIS033
W.P. LABUAN025
JUMLAH KESELURUHAN111 (4)10,687

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED