
Kenyataan Akhbar KPK 24 September 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 64 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,666 kes (91.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 24 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 71 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,576 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 777 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan daripada 71 kes baharu yang dilaporkan, dua (2) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan bukan warganegara dari negara:
- Singapura: Satu (1) kes dilaporkan di Johor.
- Indonesia: Satu (1) kes dilaporkan di Selangor yang melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Daripada 69 kes penularan di dalam negara, 43 kes adalah warganegara Malaysia dan 26 kes adalah bukan warganegara. Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:
- Sabah: 63 kes
- 47 kes daripada Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan 32 kes warganegara dan 15 kes bukan warganegara;
- 10 kes daripada Kluster Laut yang melibatkan kesemua bukan warganegara;
- Dua (2) kes saringan kemasukan ke hospital yang melibatkan satu (1) warganegara dan satu (1) bukan warganegara;
- Satu (1) kes daripada Kluster Benteng LD yang melibatkan warganegara;
- Satu (1) kes saringan rujukan ke Hospital Tawau yang melibatkan warganegara;
- Satu (1) kes saringan pra prosedur di Hospital Semporna yang melibatkan warganegara; dan
- Satu (1) kes saringan bergejala di pusat perubatan yang melibatkan warganegara. Kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.
- Kedah: Empat (4) kes
- Empat (4) kes daripada Kluster Sungai yang melibatkan semua warganegara.
- Selangor: Dua (2) kes
- Dua (2) kes saringan bergejala yang melibatkan warganegara. Mereka mempunyai sejarah pulang dari Semporna,Sabah.
Sehingga kini, terdapat enam (6) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua (2) kes memerlukan bantuan pernafasan.
Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 133 kes (1.26 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI BAGI TIGA (3) KLUSTER DI SABAH DAN SATU (1) KLUSTER DI KEDAH
Kluster Bangau-Bangau
Terdapat 47 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Bangau-Bangau pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 60 kes. Sehingga 24 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 105 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan adalah seperti berikut:
- 60 kes dikesan positif COVID-19 (47 kes baharu); dan
- 45 individu masih menunggu keputusan.
Daripada jumlah 60 kes positif COVID-19, 42 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 18 adalah warganegara Filipina.
Kluster Laut
Terdapat 10 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Laut pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 22 kes. Sehingga 24 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 488 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan adalah seperti berikut:
- 22 kes dikesan positif COVID-19 (10 kes baharu);
- 352 individu negatif; dan
- 114 individu menunggu keputusan.
Kesemua 22 kes positif COVID-19 dalam kluster ini adalah di kalangan warganegara Filipina.
Kluster Benteng LD
Terdapat satu (1) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Benteng LD pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 730 kes. Sehingga 24 September 2020 jam 12:00 tengah hari, sejumlah 10,521 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan mengikut daerah adalah seperti berikut:
- Tawau (7,951 individu disaring);
- 570 kes dikesan positif COVID-19;
- 6,136 individu negatif; dan
- 1,245 individu menunggu keputusan.
- Lahad Datu (2,569 individu disaring):
- 159 kes dikesan positif COVID-19 (1 kes baharu);
- 1,901 individu negatif; dan
- 509 individu menunggu keputusan.
- Sandakan – Satu (1) kes dikesan positif COVID-19, tiada saringan dan pertambahan kes baharu.
Berdasarkan keseluruhan saringan bagi kluster ini, pecahan saringan melibatkan:
- 1,771 banduan dan tahanan di mana 617 kes dikesan positif COVID-19;
- 1,159 kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau di mana 24 kes dikesan positif COVID-19;
- 1,394 ahli keluarga kepada kakitangan, banduan dan tahanan di mana 27 kes dikesan positif COVID-19;
- 1,526 pegawai agensi kerajaan lain di mana tiada kes dikesan positif COVID-19; dan
- 4,671 kontak sosial di mana 62 kes dikesan positif COVID-19.
Daripada jumlah 730 kes positif COVID-19, 415 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 315 kes adalah bukan warganegara yang melibatkan negara:
- Filipina (202 kes); dan
- Indonesia (113 kes).
Ingin dimaklumkan bahawa jumlah kes akan sentiasa dikemaskini dan kategori bagi kes positif mungkin akan berubah bergantung kepada maklumat terkini hasil siasatan di lapangan.
Kluster Sungai
Terdapat empat (4) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Sungai pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 91 kes. Sehingga 24 September 2020 jam 12:00 tengah hari, sejumlah 25,167 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan mengikut negeri adalah seperti berikut:
- Kedah (24,947 individu disaring):
- 90 kes dikesan positif COVID-19 (4 kes baharu);
- 24,584 individu negatif; dan
- 273 individu menunggu keputusan.
- Pulau Pinang (142 individu disaring):
- 142 individu negatif.
- Perlis (78 individu disaring):
- Satu (1) kes dikesan positif COVID-19; dan
- 77 individu negatif.
Kesemua 91 kes positif dalam kluster ini merupakan warganegara Malaysia.
Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) bagi kluster-kluster ini masih diteruskan dan status terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
PERKEMBANGAN NILAI Rt DALAM NEGARA DAN KEPERLUAN MENDESAK PEMATUHAN PROSEDUR AMALAN STANDARD (SOP)
Malaysia mula mencatatkan nilai Rt atau R naught (R0) penularan jangkitan COVID-19 yang tinggi pada 7 September 2020 (nilai Rt 1.72). Berikutan situasi peningkatan kes COVID-19 di negeri Sabah dan negeri Kedah, nilai Rt di kedua-dua negeri ini telah memberi kesan besar terhadap nilai Rt bagi negara. Situasi penularan COVID-19 di dalam negara dikhuatiri akan terus meningkat secara mendadak (exponential) sekiranya langkah kawalan tidak dijalankan dengan agresif.

Susulan itu, pelbagai tindakan kawalan dan pencegahan kesihatan awam telah dipergiatkan. Kerajaan telah memperketatkan syarat kemasukan dari negara-negara berisiko tinggi di Pintu Masuk Antarabangsa dan pihak penguatkuasa telah mempertingkatkan kawalan sempadan dengan menyekat kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di laluan-laluan tikus. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di beberapa kawasan juga telah turut membantu kawalan. Tindakan pantas pengesanan kontak rapat kes-kes positif, perluasan saringan bersasar terhadap golongan berisiko tinggi, pelaksanaan kuarantin, dan pemberian rawatan awal kepada kes yang bergejala telah berjaya menurunkan nilai Rt sehingga kurang dari 1.0.

Walau bagaimanapun, nilai Rt dilihat tidak stabil dan kembali meningkat. Pada 23 September 2020 ianya telah meningkat kembali kepada 1.34 iaitu melebihi 1.0 (nilai Rt di Sabah adalah 1.37 dan Kedah 1.15 . Oleh yang demikian, lebih banyak usaha perlu dilakukan Bersama bagi memutuskan penularan jangkitan COVID-19 di dalam komuniti. Sekiranya tiada urusan di luar masyarakat dinasihatkan supaya kekal berada di rumah. Di negeri Sabah, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah membangunkan SOP bagi aktiviti berkempen dan mengundi. KKM merayu, patuhilah SOP tanpa mengira status dan kedudukan dalam masyarakat. Bantulah Negara dalam mengawal penularan COVID-19 ini.
Walaupun kebanyakan kawasan di negara kini sudah bertukar menjadi zon hijau, namun KKM ingin mengingatkan bahawa kes COVID-19 masih berada di dalam komuniti kita. Pembahagian warna zon hijau, kuning, dan merah adalah berdasarkan bilangan kes setempat dalam masa 14 hari kebelakang. Sehingga 24 September 2020, terdapat lima (5) kawasan di Malaysia yang sudah bertukar menjadi zon merah. Terdapat empat (4) zon merah di Sabah dan satu (1) zon merah di Kedah iaitu (Rujuk Lampiran 3):
- Negeri Sabah:
- Tawau;
- Lahad Datu;
- Kunak; dan
- Semporna.
- Negeri Kedah:
- Kota Setar.
KKM ingin menasihatkan, individu bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan COVID-19 di fasiliti kesihatan berhampiran. Individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah juga amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat di sekitarnya.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:
- Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
- Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
- Elakkan bersalaman / bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam;
- Amalkan etika batuk dan bersin;
- Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
- Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
- Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:
- S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
- O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
- P : Penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter diamalkan pada setiap masa.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
24 September 2020 @ 5.00 petang.
BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
(SEHINGGA 24 SEPTEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)
| NEGERI | BILANGAN KES BAHARU *( ) | BILANGAN KES KUMULATIF |
| W.P. KUALA LUMPUR | 0 | 2,650 |
| SELANGOR | 3 (1) | 2,220 |
| SABAH | 63 | 1,386 |
| NEGERI SEMBILAN | 0 | 1,044 |
| JOHOR | 1 (1) | 753 |
| SARAWAK | 0 | 703 |
| PAHANG | 0 | 371 |
| KEDAH | 4 | 344 |
| PERAK | 0 | 269 |
| MELAKA | 0 | 262 |
| KELANTAN | 0 | 161 |
| PULAU PINANG | 0 | 142 |
| TERENGGANU | 0 | 114 |
| W.P. PUTRAJAYA | 0 | 99 |
| PERLIS | 0 | 33 |
| W.P. LABUAN | 0 | 25 |
| JUMLAH KESELURUHAN | 71 (2) | 10,576 |
*( ) adalah merujuk kepada kes-kes import

SABAH- 63 kes
47 Kes Generasi Kedua Kluster Bangau-Bangau (WN - 32, BWN – 15)
10 Kes Generasi Kedua Kluster Laut (BWN-10)
1 kes generasi ketiga Kluster Benteng LD (WN)
2 kes saringan kemasukkan ke hospital (WN-1, BWN-1)
1 kes saringan bergejala (WN) 1 kes saringan pra prosedur (WN) 1 kes saringan rujukan ke hospital (WN) SELANGOR-3 kes 2 kes jangkitan tempatan – mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah (WN-2) 1 kes import tiba dari Indonesia (BWN)
JOHOR – 1 kes
1 kes import tiba dari Singapura (BWN)
KEDAH- 4 kes
4 Kes Generasi Kelima Kluster Sungai (WN-4)