Translate

23 December 2019

Kembar maut apabila dua motosikal bertembung - Kuatnya aura naluri ibu




Kuatnya aura naluri ibu

MyMetro


MUHAMMAD Nabil (kanan) meninggal dunia pada 7 Disember lalu manakala abang kembarnya, Muhammad Najib meninggal dunia pada hari ini selepas terbabit kemalangan. Gambar kecil, ibu mereka, Che Manishah. FOTO ihsan pembaca dan Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my





“MANA mungkin saya silap sebab saya yang melahirkan mereka,” kata Che Manishah Md Noh, ibu kepada kembar seiras yang maut susulan kemalangan di Kilometer 1.1 Jalan Changkat Jering-Taiping, Taiping, 7 Disember lalu.

Dalam kejadian 12.35 tengah malam itu, motosikal dinaiki kembar terbabit bertembung dengan motosikal lain menyebabkan Muhamad Nabil Muhamad Fakri, 16, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping pada hari kejadian.


Penunggang satu lagi motosikal, P Morhintheran, 23, turut meninggal dunia di hospital pada hari sama, manakala kembar Muhammad Nabil iaitu Muhammad Najib menghembus nafas terakhir di hospital sama awal pagi hari ini, selepas 16 hari bertarung nyawa akibat komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru susulan kecederaan parah dialami.


Che Manishah, 52, berkata, dia mendapat maklumat mengenai kemalangan menimpa anaknya itu melalui kumpulan aplikasi WhatsApp ketika dia bersama ibunya berada di Tanah Suci mengerjakan umrah yang memasuki hari kesembilan.

Katanya, pengecaman mayat dibuat suaminya serta seorang anak mereka, namun berlaku kesilapan identiti kembar seiras itu apabila menyatakan mangsa maut pada hari kejadian adalah Muhammad Najib.

Menurutnya, kekhilafan itu disedarinya apabila pulang ke tanah air empat hari selepas kemalangan itu dan melihat anaknya yang koma di hospital sebelum menyedari anak mereka yang dirawat itu adalah Muhammad Najib bukannya Muhammad Nabil.

“Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua anak saya mengalami banyak luka dan bengkak termasuk di bahagian muka hingga menyukarkan pengecaman dibuat, tambahan pula mereka adalah kembar seiras.

“Malah, kebiasaannya, Muhammad Najib akan menyuruh Muhammad Nabil menyimpan kad pengenalan miliknya kerana mereka sering bersama.

“Dari mula berkesempatan menziarahi Muhammad Najib, saya sedar bahawa yang meninggal dunia pada hari kejadian adalah Muhammad Nabil berdasarkan tanda tahi lalat pada bahu kiri Muhammad Najib dan semakin jelas lima hari kemudian selepas bengkak pada muka Muhamad Najib mulai surut,” katanya ketika ditemui sewaktu pengebumian Muhamad Najib di kediaman mereka di Kampung Sungai Petai, Bukit Gantang, Taiping, hari ini.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, dia reda dengan pemergian dua anak kembarnya itu dengan menganggap ia sebagai kematian mulia memandangkan kedua-duanya sedang dalam perjalanan pulang selepas menyertai program ilmiah.

“Gerak hati saya dari awal sememangnya memberitahu bahawa anak saya yang sedang koma itu adalah Muhammad Najib kerana dia hanya akan berikan respon positif sewaktu saya memanggilnya Najib.

“Apabila bengkak dan luka di mukanya mulai surut, jelas yang koma itu adalah Muhammad Najib,” katanya sambil menambah laporan polis berhubung kesilapan itu sudah dibuat pada 21 Disember lalu bagi pembetulan ke atas sijil kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat ketika dihubungi mengesahkan mengenai pembetulan identiti mangsa kembar terbabit dan ia bukanlah kesilapan pihak polis.

“Bapa mangsa yang mengecam mayat pada hari kejadian di bilik mayat dan susulan laporan mengenai kesilapan yang dibuat ahli keluarga itu, pembetulan dilakukan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk sijil kematian,” katanya.

Jenazah Muhammad Najib disolatkan di Surau Ahmadiah Kampung Sungai Petai, Bukit Gantang, sebelum dikebumikan bersebelahan kubur Muhammad Nabil di Tanah Perkuburan Islam Changkat Ibol, Bukit Gantang.


Image result for Muhammad Najib Muhamad Fakri

2 maut, 1 parah motosikal bertembungSimpan Artikel

MyMetro
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my


DUA termasuk seorang remaja kembar maut apabila dua motosikal bertembung di Kilometer 1.1 Jalan Changkat Jering- Taiping, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.35 tengah malam itu, P Morhintheran, 23, dan Muhammad Najib Muhamad Fakri, 16, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping manakala pasangan kembar Muhammad Najib iaitu Muhamad Nabil yang membonceng motosikal parah.


Pasangan kembar itu adalah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Wan Ahmad Rasdi Batu 9 dekat sini.


Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati motosikal Modenas Kriss dinaiki pasangan kembar itu dalam perjalanan dari arah Markas Operasi PAS Bukit Gantang menghala ke Kampung Sungai Petai sebelum bertembung motosikal Yamaha Lagenda ditunggang Morhintheran dari arah bertentangan.

“Kedua-dua motosikal itu bertembung di tengah jalan sebelum semua mangsa dikejarkan ke Hospital Taiping dan dua daripadanya meninggal dunia di hospital.

“Pemeriksaan juga mendapati kedua-dua penunggang motosikal yang maut tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika Muhammad Najib dan Muhammad Nabil dalam perjalanan pulang selepas selesai menjalankan tugas sebagai sukarelawan Jabatan Amal PAS dalam satu program anjuran Markas Operasi PAS Bukit Gantang.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 11:45 AM

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED