Translate

26 January 2019

Penamatan CCCC sebagai peneraju projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diputuskan secara muktamad dalam mesyuarat Kabinet, Khamis lalu.



GAMBAR fail: Projek ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer dianggar membabitkan kos RM81 bilion. - Foto Farizul Hafiz Awang
Kerajaan tamatkan kontrak CCCC bina ECRL


Oleh Luqman Arif Abdul Karim
luqman.arif@bh.com.my





KUALA LUMPUR: Penamatan kontrak China Communications Construction Group Ltd (CCCC) sebagai peneraju projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diputuskan secara muktamad dalam mesyuarat Kabinet, Khamis lalu.



Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan memutuskan sedemikian kerana tidak mampu menanggung kadar faedah tahunan daripada projek berkenaan yang menjangkau hampir RM500 juta.

Katanya, tanggungan faedah pada skala itu didapati tidak selari kedudukan kewangan negara ketika ini, justeru kerajaan terpaksa membatalkan kontrak CCCC walaupun perlu membayar pampasan.



“Jemaah Menteri sudah mengambil keputusan oleh kerana kos untuk pembangunan ECRL terlalu besar. Kita tidak ada kemampuan kewangan ketika ini.



“Jika projek ini tidak ditamatkan, kadar faedah yang perlu dibayar kerajaan hampir setengah bilion ringgit, maka keputusan sedemikian diambil tanpa menjejaskan hubungan baik dengan China.



“Kita masih mengalu-alukan semua bentuk pelaburan dari China, namun perkara ini kita akan teliti secara kes demi kes, bersandarkan kemampuan kewangan negara,” katanya selepas merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan dan Mesyuarat Agung Perwakilan Ke-20 Silat Cekak Hanafi, di sini, pagi ini.



Yang turut hadir, Penaung merangkap Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, Marwi Latif.



Sementara itu, portal berita Straits Times yang berpangkalan di Singapura sebelum ini melaporkan penamatan kontrak itu dilaksana susulan kegagalan CCCC mengurangkan kos projek kepada separuh, iaitu RM40 bilion berbanding RM81 bilion sebelum ini, selain menepati beberapa permintaan kerajaan.



Ia merangkumi penggunaan produk dan perkhidmatan tempatan dalam pelbagai fasa pembinaan projek dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer itu.



Mengulas nilai pampasan kepada CCCC, Mohamed Azmin berkata, ia akan ditentukan Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat yang menjalankan proses berkaitan bagi memastikan perangkaan kos terbabit tidak membebankan situasi kewangan negara.



“Pemaju baharu kita belum putuskan, setakat ini Malaysia terima semua bentuk pelaburan dalam negara, daripada mana-mana pihak tetapi melihat kepada kedudukan kewangan negara.



“Kita sentiasa menilai semua permohonan baharu untuk pelaburan di Malaysia, bukan ECRL saja kerana nak kekalkan aliran pelaburan langsung (FDI) dari luar,” katanya.



Beliau berkata, dasar kerajaan adalah memastikan FDI kekal utuh bagi mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.



CCCC menerusi kenyataan media pada 4 Julai tahun lalu, berkata semua kerja membabitkan ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer (km) digantung berkuat kuasa serta-merta.



Firma berpangkalan di China selaku kontraktor utama projek mega itu mengesahkan menerima notis untuk menggantung semua kerja projek ECRL daripada pemilik syarikat berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).



Arahan penggantungan dikeluarkan MRL itu susulan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa kos sebenar projek ECRL menjangkau RM81 bilion, berbanding RM66 bilion seperti dilaporkan sebelum ini, sekali gus ia perlu dikurangkan secara ketara supaya berdaya maju dari segi kewangan.



Dr Mahathir, pada 22 Oktober tahun lalu, dilaporkan berkata keputusan kerajaan membatalkan beberapa projek mega adalah disebabkan kekangan kewangan serta dapat menjimatkan kos menjangkau RM300 bilion.



Beliau dipetik berkata, antara projek yang dibatalkan termasuk ECRL, Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HCR).



"Kita bukan suka-suka batal (projek mega). Macam-macam perkara yang kita tak mampu bayar tetapi dilakukan juga, itu masalahnya dan ia menelan kos sebanyak RM300 bilion,” katanya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED