Terpaksa Berjalan Guna Tongkat
- Details
- Published on Friday, 23 December 2016 08:53
Pengacara Awal Ashaari kini terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan akibat kecederaan di bahagian ligamen (ACL) lutut kanannya yang dialami selepas terjatuh ketika bermain luncur ais di Sapporo, Jepun minggu lalu.
Kejadian itu berlaku ketika Awal, 35, bercuti bersama keluarganya di negara itu.
Memetik laporan Harian Metro, Awal bagaimanapun terpaksa menangguhkan pembedahan disebabkan beberapa komitmen kerja yang sudah dipersetujui terlebih dahulu.
"Selepas pulang dari bercuti, saya membuat membuat pemeriksaan di dua hospital berbeza di sini. Hasil pemeriksaan terdapat kesan koyak pada bahagian ACL lutut kanan. Jadi doktor mencadangkan saya untuk membuat pembedahan.
"Namun disebabkan saya terikat dengan beberapa komitmen kerja pada awal tahun depan, saya menangguhkan dahulu pembedahan itu. Buat masa sekarang, saya perlu menggunakan tongkat untuk berjalan," katanya
Awal yang juga pengacara Melodi berkata, dia juga boleh sekiranya tidak mahu melakukan pembedahan tetapi kecederaan itu mengambil masa untuk pulih.
"Seboleh-bolehnya saya disarankan untuk melakukan pembedahan juga. Kalau tak nak pun boleh, tapi akan ambil masa untuk pulih sepenuhnya," katanya.
Menurut Awal, doktor juga menasihatinya supaya tidak melakukan aktiviti berat atau bersukan seperti berlari dalam jarak jauh.