Nassier mula langkah kanan
Sukar menggambarkan keterujaan dan debaran yang dilalui Nassier Wahab sekarang. Apa tidaknya, penyanyi awet muda ini bakal menjayakan persembahan istimewa sebagai pembuka tirai pada 2017.
Persembahan dinamakan Nassier Wahab Celebrating 30 Years ini akan berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 1 Januari 2017, jam 3 petang.
Lebih menarik, peluang ini hadir selepas 30 tahun pembabitan Nassier sebagai anak seni.
“Alhamdulillah, segalanya berjalan seperti yang dirancang. Sebagai permulaan biarlah saya buat showcase dahulu berbanding konsert kerana nak meraikan peminat secara eksklusif.
“Lokasi ini dilihat amat bersesuaian kerana kedudukannya strategik dan diketahui ramai. Ia juga boleh memuatkan penonton sekitar 400 hingga 500 orang.
“Saya berasa gembira apabila penganjur, Melody United sudi bekerjasama dengan syarikat Nassier Wahab Productions menganjurkan persembahan ini,” katanya.
Nassier, 54, berkata, matlamat utama showcase ini ialah mahu mendekati peminat yang setia menyokong perjuangan seninya.
“Saya mahu berada dekat dengan peminat, rakan-rakan dan keluarga pada petang itu nanti. Inilah peluang untuk mendekati saya.
“Bahkan saya juga memperkenalkan pakej tiket VVIP apabila peminat yang membelinya akan berpeluang beramah mesra dengan saya secara eksklusif.
“Selain peminat, showcase ini juga akan menjadi medan berkumpul rakan-rakan artis seangkatan saya yang berjanji akan hadir menyokong nanti,” katanya.
Tambah Nassier lagi, dia terharu kerana sudah ada peminat dari Singapura dan Brunei menyatakan kesudian untuk menonton persembahannya nanti.
“Saya berjanji akan menampilkan persembahan terbaik dalam tempoh masa dua jam yang diperuntukkan.
“Saya akan menyanyikan 18 lagu terbaik menerusi tiga segmen antaranya medley lagu ciptaan Datuk Dr Ahmad Nawab.
“Seperti yang dikatakan tadi, ini adalah permulaan dan insya-Allah saya sedang merancang untuk buat persembahan berskala besar dan menjelajah ke seluruh Malaysia tahun depan,” katanya.
Nassier mengakui sudah lama menunggu untuk mengadakan persembahan solo kerana tawaran yang datang sebelumnya sekadar cadangan kosong.
“Sebagai penyanyi, siapa yang tak teringin nak buat persembahan besar. Tak sangka peluang ini akhirnya tiba juga.
“Mulanya saya tak anggap tawaran daripada Melody United ini serius. Tapi melihatkan kesungguhan mereka, saya akhirnya bersetuju.
“Bagaimanapun sebelum ini saya tak rasa kecewa peluang belum tiba kerana jadual persembahan saya sentiasa penuh. Tak pernah dalam sebulan saya tiada show.
“Cuma sekali sekala terdetik juga perasaan teringin apabila tengok rakan artis lain buat show,” katanya yang sering menjayakan persembahan eksklusif membabitkan golongan kenamaan.
Rezeki Bertambah
Dalam pada itu, Nassier berkongsi pengalaman menariknya apabila menjadi perhatian peminat Malaysia ketika mengerjakan ibadah umrah di Makkah pada 6 hingga 16 Disember lalu.
“Selepas masuk Gegar Vaganza, rezeki saya makin bertambah. Saya tak bolot semuanya kerana jadual terlalu padat dan mengagihkan kepada rakan artis lain.
“Syukur pengorbanan saya berbaloi kerana seorang peminat menghadiahkan peluang mengerjakan umrah.
“Saya dah empat kali buat umrah dan kali ini suasananya sangat berbeza kerana setiap kali berjumpa peminat, mereka minta nak bergambar,” katanya.
Malah ketika hendak solat, ada juga peminat yang menegurnya untuk minta bergambar dan Nassier tetap melayan mereka dengan mesra.
“Nak menolak saya tak sampai hati tapi saya minta ruang untuk fokus pada ibadah sebelum tunaikan hasrat mereka.
“Syukurlah mereka faham dan saya turut mendoakan agar Allah memudahkan urusan semua peminat saya di sana.
“Ada juga peminat yang menangis kerana dah lama simpan hasrat nak jumpa saya. Katanya tak sangka kami akhirnya bertemu di sana,” katanya.
Sementara itu, tiket menyaksikan persembahan Nassier dijual pada harga RM300 (VVIP), RM200 (Platinum), RM150 (Gold), RM100 (Silver) dan RM80 (Bronze) dan boleh didapati di www.airasiaredtix.com atau Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.