Translate

29 August 2016

Wanita Menghadapi Detik Cemas Bersalin Dalam Kereta dan Terlibat Dalam Kemalangan Semasa Perjalanan Ke Hospital


Wanita Hadapi Detik Cemas Bersalin Dalam Kereta Sebelum Terlibat Kemalangan



JERAI 27 Ogos – Seorang wanita bukan sahaja menghadapi detik cemas bersalin dalam kereta, malah turut berhadapan detik cemas apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas itu dalam kejadian di Jalan Ruat di sini semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 12.30 tengah hari itu, pasangan suami isteri, Muhammad Sholehin Yunus, 21, dan Nurul Jannah Mansor, 19, dalam perjalanan menuju ke hospital Yan di sini untuk bersalin.

Nurul Jannah berkata, dia dan suami bergegas ke hospital dari Taman Universiti Jaya di Semeling Sungai Petani selepas dia merasa sakit perut seperti mahu bersalin sejak pukul 11.45 pagi semalam.

“Namun, ketika dalam perjalanan ke hospital saya minta suami berhentikan kereta kerana saya nampak kepala bayi sudah keluar separuh.

“Tidak lama selepas itu, bayi selamat dilahirkan dengan disam­but suami sebelum kami meneruskan perjalanan ke hospital,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan di sini hari ini.

Suri rumah itu menambah, mereka bagaimanapun berdepan dengan satu lagi detik cemas apabila kereta Viva yang dipandu oleh suaminya bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang membuat pusingan U secara mengejut dari arah bertentangan.

“Saya yang meriba bayi dengan tali pusatnya masih belum dipotong hanya mampu menjerit dan saya bersyukur kami tidak menga­lami sebarang kecedera­an,” ujarnya.

Tambahnya, dia dan bayi itu kemudiannya dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

“Saya tidak menyangka bersalin awal kerana tarikh jangkaan bersalin adalah dua minggu lagi, namun saya bersyukur saya dan bayi perempuan seberat 2.67 kilogram ini sihat dan mungkin dibenarkan pulang ke rumah pada esok,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Muhamad Halim Yatim berkata, tiga beranak yang menaiki kereta Perodua Viva dan pemandu Pero­dua Myvi tidak mengalami sebarang kecede­raan.

Sumber : Utusan Online

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED