11 Hari Direman, Mimi Lana Dakwa Diri Mangsa Keadaan
Pelakon drama bersiri Ku Tinggalkan Cinta di Okinawa, Mimi Lana, mengakui berita dia ditahan pihak polis atas dakwaan terdapat bahan dipercayai ganja di rumahnya, sekitar Sepetember lalu, cukup memberi kesan terhadap dirinya.
Memetik laporan BH Plus, Mimi menyifatkan, dia adalah mangsa keadaan. Katanya, dia ketika itu berada di tempat dan waktu yang salah sehinggalah dia dan rakannya telah ditahan pihak polis.
Dia hanya menyewa di rumah berkenaan dan kerana terlalu penat setelah pulang dari penggambaran di Pulau Pinang, dia terus tertidur
“Saya direman 11 hari kerana kes ini besar. Apabila berita penahanan saya menjadi viral, terutama di laman maya, ia memberi impak besar kepada kerjaya.
Ada maklumat yang disebarkan tidak benar. Saya kecewa apabila dianggap seperti penjenayah, sedangkan saya ditahan bagi membantu siasatan”
“Saya bukan pengedar dadah! Ketika direman, saya menangis siang malam memikirkan kerjaya lakonan yang baru bermula mungkin hancur berkecai. Masa depan saya gelap. Saya bertambah sedih apabila ibu bapa di kampung yang terpaksa menanggung malu besar,” jelasnya
Suspek yang turut menyewa di rumah berkenaan sehingga kini masih ditahan pihak polis.