Tatu Akan Buang, Video Bercium Tak Sengaja - Ammar
Selepas membuat kemunculan semula sejak tahun lalu, perjalanan karier lakonan pelakon bertubuh sasa yang pernah mencetuskan kontroversi hangat, Ammar Alfian Aziz semakin baik.
Ammar yang ditemui pada sidang media Anugerah Skrin 2015 berkata, dia bersyukur dengan rezeki dan tawaran yang tidak putus-putus.
Sementelah drama lakonannnya berjudul Hello, Mr Perfect kini sedang ditayangkan di TV3. Selain itu dia berdebar menantikan filem terbaru lakonannya, Langit Cinta yang dijangka di tayangkan tahu hadapan.
Namun, baru-baru ini nama pemuda berusia 28 tahun ini sekali lagi terpalit dek isu panas gara-gara gambar yang tersebar di Internet yang menunjukkan dirinya tidak berbaju dan lebih mengejutkan di bahagian bahu dan dadanya jelas menampakkan lukisan tatu.
Mengulas hal itu, Ammar mengakui membuat tatu tersebut selepas kecewa dengan perhubungan cintanya dengan seorang pelakon yang putus di tengah jalan, beberapa tahun lalu.
Namun, dia sudah berusaha mendapatkan rawatan untuk membuang tatu tersebut.
Malangnya jika dia mahu meneruskan rawatan berkenaan dia akan mendapat parut kesan daripada pembuangan tatu tersebut.
"Tatu di dada dan bahu saya itu dibuat selepas putus cinta dengan seorang pelakon.
"Saya sudah pergi ke lima buah klinik mendapatkan rawatan untuk membuang tatu tersebut tetapi semuanya memaklumkan yang jika saya teruskan kaedah rawatan itu, ia akan meninggalkan kesan parut. Saya sebolehnya tidak mahu kesan parut tersebut.
"Namun, cara lain untuk membuangnya ialah dengan menjalani kaedah rawatan pembuangan tatu di Amerika Syarikat dan kaedah tersebut tidak meninggalkan kesan parut.
"Saya memang mahu membuang tatu itu tetapi saya perlu mengambil masa memandangkan kosnya tinggi. Jadi, buat sementara waktu ini, saya biarkan saja," katanya.
Bagaimanapun, tindakannya memuat naik gambar tersebut menerusi laman sosial Instagram miliknya bukan kerana mahu mencari publisiti murahan. Sebaliknya, mahu masyarakat mengenali dirinya yang sebenar.
Lagipun dia merasakan tiada ada salahnya dia memuat naik gambar menayangkan badan memandangkan sejak kebelakangan ini beberapa selebriti lelaki lain juga melakukan perkara yang sama.
"Sebenarnya, niat saya muat naik gambar dalam keadaan begitu kerana mahu menunjukkan itulah diri saya yang sebenar.
"Inilah kehidupan saya. Saya tidak perlu menjadi orang lain demi menjaga hati orang lain.
"Lagipun saya hanya tayang badan, bukannya berbogel. Selebriti lain pun ada juga yang tunjuk badan mereka.
"Mungkin sebab orang memang dari dulu lagi sudah membenci saya, jadi sebab itu saya dikutuk. Tapi saya tidak kisah dikritik sebab saya sudah lali,” jelasnya.
Bukan saja isu tatu di badannya saja yang menjadi bualan hangat ramai tetapi pada masa sama kelakukan Ammar sekali lagi mendapat reaksi negatif ramai pihak gara-gara video yang dimuat naik di Instagram yang menunjukkan dia sedang bercium dengan seorang gadis. Namun, video itu sudah dipadamkannya.
"Tentang video itu, saya akui saya tidak sengaja memuat naik di Instagram. Saya hanya terperasan yang video itu sudah dimuat naik selepas seorang rakan saya menegur tentang perkara itu lalu saya segera memadamkannya," jelasnya yang kini masih lagi sibuk dengan penggambaran Hello, Mr Perfect.
- mD