Bagi mengelak sebarang implikasi terhadap pengadu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini tidak akan menunggu laporan rasmi untuk mengambil tindakan terhadap pelaku rasuah, menurut akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed (gambar) berkata pihaknya kini lebih bersikap terbuka dan orang ramai hanya perlu menghubungi mereka bagi membuat laporan berkaitan salah laku rasuah.
"Anda boleh menghubungi kami tanpa perlu memperincikan butiran peribadi anda atau datang kepada kami, hanya maklumkan saja kepada kami jika tahu terdapat aktiviti rasuah di persekitaran anda," beliau dipetik sebagai berkata.
"Apa yang kami mahu tahu adalah bila dan bagaimana rasuah berlaku, siapa pelaku rasuah serta kenapa mereka melakukan rasuah," katanya pada sidang dialog bersama penjaja dan peniaga kecil Malaysia di Kuala Lumpur semalam.
Utusan melaporkan, Abu Kassim menjawab soalan tentang kerisauan sesetengah peniaga untuk tampil memberi maklumat tentang rasuah dalam kalangan peniaga dan pihak berkuasa disebabkan berdepan dengan risiko gangguan dalam perniagaan mereka. – 12 Ogos, 2014.

