Translate

15 August 2014

Jaclyn Victor Bagi sebab Rahsiakan Perkahwinan


“Selepas mengumumkan mengenai berita ini, saya rasa sangat lega. Saya bukan berniat untuk rahsiakan. Jika sesiapa mengenali saya, mereka akan faham saya kerana selama ini pun, saya memang seorang yang kurang dan tidak suka bercakap mengenai hal peribadi. Saya cuma mahukan sebuah perkahwinan yang bersifat sangat ‘intimate’.

“Saya seorang yang perahsia. Di akhir nanti, pasti akan ada orang bercakap mengenai perkara ini, tetapi jika dilihat semula, tujuan saya adakan majlis hari ini pun adalah untuk berkongsi dan memberitahu kepada semua mengenai berita ini. Saya harap semua faham,” ujar penyanyi Jaclyn Victor ketika diminta mengulas mengenai keputusannya untuk merahsiakan perkahwinannya dengan Shawn Rivera yang berlangsung pada 19 Julai lalu.

Mesra disapa dengan nama Jac, wanita ini mengadakan sebuah majlis untuk memperkenalkan suaminya di Istana Budaya pada Selasa. Majlis perkahwinan mereka yang berlangsung di The First Unitarian Church of Philadelphia, Amerika Syarikat hanya dihadiri oleh 35 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga rapat sahaja.
Berkongsi kisah mengenai suaminya, pelantun lagu ‘Gemilang’ ini mendedahkan yang dia terpikat dengan vokalis kumpulan R&B, Az Yet ini kerana sifat penyabar yang ada pada diri lelaki itu.

“Shawn seorang yang sangat penyabar. Dia menunjukkan pelbagai usaha dalam memenangi hati saya. Dia juga seorang yang bijak. Selepas berkenalan pada Januari 2013, saya dan Shawn telah mula membincangkan perihal perkahwinan pada Ogos tahun lepas. Kami jarang berjumpa kerana masing-masing duduk jauh. Tetapi setiap hari kami berkomunikasi menggunakan panggilan telefon menerusi aplikasi internet, Tango. Kami berbual berjam-jam lamanya. Walaupun tak bersua muka, di situ wujud kemesraan antara kami. Selain itu, kami juga ada berhubung menerusi Skype dan kiriman e-mel,” cerita Jac lagi.

Bercakap mengenai majlis resepsinya di Malaysia, kemungkinan besar majlis itu diadakan pada bulan September ini untuk keluarga dan kenalan rapat sahaja. Dalam pada itu, Jac juga berkongsi mengenai kehidupannya selepas bergelar isteri.

“Setiap kali saya bangun pagi, saya bertanyakan kepada Shawn adakah dia mahukan kopi sebagai sarapan. Dari segi masakan pula, saya pernah memasak Kurma Ayam untuk Shawn. Shawn juga pernah memasak dan menyediakan hidangan Spaghetti untuk saya,” kongsi Jac dalam nada ceria.

Popular Posts - Last 7 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED