- View PhotoAnak selebriti tempatan paling comel
30 Jul – Dalam era teknologi yang semakin canggih kini, hubungan di antara para peminat dan selebriti kegemaran mereka semakin erat dengan adanya laman sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan bermacam- macam lagi.
Ada sahaja foto terbaru yang dimuat naik oleh artis tempatan setiap masa bagi memberitahu perkembangan terbaru mereka khas buat tatapan pengikut di laman sosial.
Menjadi lumrah bagi pasangan yang mempunyai anak kecil kerap memaparkan gambar si kecil kesayangan mereka dan ini sudah semestinya menjadi perkara wajib bagi kebanyakan selebriti kita di Malaysia.
Si anak yang comel turut terkena tempias populariti berikutan ibu atau bapanya yang mempunyai pengikut atau peminat yang ramai di dalam laman sosial masing-masing.
Jom kita lihat siapa gerangan anak selebriti yang tidak kurang hebat popularitinya dek kerana telatah comel mereka!
Engku Aleesya (Erra Fazira)
Permata hati kepada Erra Fazira dan bekas suaminya Engku Emran ini selamat dilahirkan pada tanggal 30 Mac 2009 yang lalu dan kini sudah pun berusia 5 tahun. Mempunyai raut wajah yang sangat comel, Aleesya kerap menjadi tumpuan sejak dirinya dilahirkan lagi dan ramai beranggapan bahawa apabila dirinya dewasa kelak pasti mengikut jejak langkah ibunya yang cantik dan menawan. Walaupun masih kecil, Aleesya pandai bergaya persis ibunya juga dan sangat petah bercakap seperti yang dilihat dalam video di laman sosial milik ibunya yang juga merupakan pelakon popular. Kini Aleesya dijaga oleh bapanya setelah Emran dan Erra sah bercerai beberapa bulan yang lalu.
Arrianshah Akid (Tomok)
Lebih mesra dipanggil Arrian oleh ibu dan bapanya, si comel yang lahir pada 29 Mei 2012 ini mula dikenali ramai apabila video menunjukkan Arrian 'dibuli' oleh ayahnya menjadi viral di media sosial. Tomok yang kerap berkongsi foto dan video comel anaknya ini di Instagram turut menyumbang kepada populariti anak sulungnya ini. Arrian yang bakal mempunyai seorang adik lagi tidak lama lagi khabarnya sedang dilamar oleh produksi Hollywood untuk memuatkan video majlis Aqiqah Arrian dalam satu program mereka. Amboi, mengalahkan bapanya Tomok pula ya!
Muhammad (Farid Kamil & Diana Danielle)
Baru sahaja menyambut hari kelahirannya yang pertama beberapa minggu yang lalu, cahaya mata sulung kepada pasangan selebriti Farid Kamil dan Diana Danielle ini menjadi perhatian apabila enggan mendedahkan wajah anak mereka selepas dilahirkan. Namun setelah beberapa bulan selepas kelahiran, wajah comel Muhammad yang lebih mirip kepada ibunya ini didedahkan kepada umum dan mula menjadi popular. Berdarah kacukan membuat wajahnya seperti ala-ala anak mat saleh dan Muhammad sudah pun mempunyai akaun Instagramnya sendiri.
Leia Rose (Marion Caunter)
Puteri sulung kepada pasangan Marion Caunter dan SM Nasaruddin ini sememangnya menjadi tumpuan peminat kepada bekas pengacara rancangan E! News ini. Kehidupan mewah yang dilalui oleh keluarga ini sering menyaksikan Leia tampil bergaya ketika bercuti mahupun bersantai di rumah. Sudah pun mempunyai seorang adik perempuan bernama Lana Rose, kini Leia tidak lagi keseorangan dan pastinya dua anak kecil ini menjadi pelengkap kebahagiaan pasangan serasi ini.
Bakti Arjuna Fitri (Fynn Jamal)
Mungkin masih ramai lagi yang tidak mengenali nama Fynn Jamal ini sebegai seorang selebriti yang terkenal di Malaysia. Pemilik asal lagu "150 Juta" yang dinyanyikan semula oleh Ainan Tasneem ini hanya bergerak secara sendiri dan menjadikan muzik sebagai hobinya sahaja. Kisah anaknya bernama Arjuna yang memerlukan bantuan kewangan bagi pembedahan antara punca nama Fynn popular di Malaysia. Gemar memuat naik foto dan video Arjuna, anak kecil persis penyanyi pop Korea ini digilai ramai kerana kecomelan wajah dan telatahnya.