Translate

04 July 2014

Penyanyi rock terkenal Awie hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan kepada isterinya

Awie mengaku tidak bersalah cederakan isteri

Penyanyi rock terkenal, Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Rozana Misbun pada awal Jun lalu.
Vokalis kumpulan Wings itu membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ayuni Izzati Sulaiman di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.
Sebelum ini heboh di media sosial, Awie dikatakan mencederakan isterinya di tempat awam sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius.
Berikutan itu, Rozana membuat laporan polis di Balai Polis Ampang, pada 17 Jun lalu, kerana bimbang kejadian sama akan berulang.
Ahad lalu, selepas tersebarnya beberapa keping gambar isterinya yang mengalami kecederaan di laman sosial, Awie mengaku dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim memohon tetap tarikh perbicaraan dan diberikan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Awie, Hazman Harun memohon kepada hakim agar jaminan dikurangkan kerana penyanyi itu memberikan kerjasama sepanjang siasatan polis dijalankan.
"Beliau hadir setiap sesi apabila dipanggil. Jaminan pula hanya bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan bukan berbentuk hukuman.
"Sekiranya jaminan yang dikenakan tinggi maka ia seakan-akan menghukum beliau," kata Hazman.
Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM9,000 dengan dua penjamin dan kes akan disebut semula pada 11 Ogos.
Awie ketika ditemui di mahkamah hari ini terkejut dengan jumlah ikat jamin yang ditetapkan hakim dan tidak menjangka kesnya hari ini sampai ke tahap perbicaraan di mahkamah.
Ketika ditanya adakah sebarang usaha untuk berbaik semula dengan isterinya dilakukan, Awie berkata: "Kita tengok nanti sebab manusia hatinya berubah-ubah. Takut jadi sendu dan sayu pula. Setakat ni saya tak mahu komen.”
Pelakon yang popular dengan filem Sembilu itu turut menyerahkan takdirnya dalam industri hiburan kepada Tuhan.
"Allah Maha Kuasa. Jika Dia kata setakat ini, maka setakat inilah. Rezeki semua di tangan-Nya. Kita hanya berusaha," katanya yang mengakui Rozana kini menyekat untuk dihubunginya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuddin Saad, berkata kepada Berita Harian, Awie didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Rozana, 36, pada pertengahan bulan lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pegawai penyiasat kes sudah menyiapkan segala laporan dan maklumat diperlukan untuk diserahkan kepada pendakwa raya, katanya ketika dihubungi akhbar itu. – 4 Julai, 2014.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED