Beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Gombak, Petaling, Hulu Selangor dan Klang/Shah Alam mungkin mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah mulai 10 malam ini.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata ini ekoran penutupan sementara sebahagian operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) selama 10 jam sehingga 8 pagi esok.
"Ia bagi membolehkan kerja pembaikan kecemasan pada 'switch gear transformer' yang membekalkan elektrik kepada loji rawatan itu yang mengalami kerosakan," katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan tempoh gangguan bekalan air dan tekanan rendah itu akan pulih sepenuhnya kerana ia bergantung kepada beberapa faktor.
Ini termasuk kedudukan sesuatu kawasan sama ada di kawasan tinggi atau rendah serta kedudukan sistem bekalan air di sesuatu kawasan sama ada di permulaan atau di penghujung.
"Pihak Syabas menjangkakan bekalan air akan pulih secara berperingkat sejurus selepas operasi loji rawatan itu dibuka semula," kata Priscilla.
Kenyataan itu juga tidak memberikan senarai penuh kawasan perumahan yang akan terlibat dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah itu.
Tambahnya, sebagai persediaan Syabas meletakkan lori tangki air dalam keadaan siap siaga untuk pengagihan bekalan air kecemasan.
Namun keutamaan bantuan akan disalurkan kepada pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah kebajikan serta situasi yang amat memerlukan seperti upacara kematian dan kenduri.
Syabas juga menjangkakan para pengguna akan mengalami kesukaran menghubungi Pusat Panggilan Syabas (Puspel) kerana kesesakan talian dan mereka diminta bersabar jika terpaksa menunggu lama sebelum panggilan dilayan. – Bernama, 5 Julai, 2014.