Eja Jadi Ibu Susuan Secara Rahsia?
- Details
- Published on Monday, 06 January 2014 10:59
Semua orang tahu, Eja atau nama sebenarnya Siti Shahriza mempunyai seorang anak perempuan. Tetapi menjadi ibu susuan hanyalah wataknya di dalam telefilem terbitan Enuja Production iaitu Aku Bukan Halimatus Saadiah yang akan disiarkan di slot Skrin Di 9 pada 13 Januari ini jam 8.30 malam.
Aku Bukan Halimatus Saadiah mengangkat tema ibu susuan bersempena sambutan Maulidur Rasul. Telemovie yang turut dijayakan oleh Jasmi Hamid, Eizlan dan Zul (Handy Black) ini mengisahkan Halimah dan Maria yang melahirkan anak pada masa yang sama. Malang bagi Halimah apabila anak kedua yang dilahirkan meninggal dunia.
Lebih malang lagi, suami Halimah juga kemalangan dan terpaksalah Halimah yang masih dalam pantang bekerja demi mencari rezeki buat keluarganya. Kerana simpati dengan nasib Halimah, Datuk Fuad, majikan kepada arwah suami Halimah menawarkannya pekerjaan untuk menjaga anak Maria.
Maria yang bekerjaya dan menjaga kecantikan tidak mahu menyusukan anaknya dan mengikuti jejak ibunya, Datin Ruby yang turut tidak menyusukan anak kerana mahu menjaga bentuk badannya. Atas rasa simpati kerana Rayyan sering sahaja menangis kelaparan kerana hanya diberikan susu tepung, Halimah telah menyusukan Rayyan. Perbuatan itu tidak diketahui oleh Maria sehinggalah pada suatu hari apabila Maria pulang ke rumah untuk mengambil fail syarikat yang tertinggal di rumah melihat sendiri Halimah menyusukan Rayyan. Maria menjadi marah dan bertindak menghalau Halimah dan anaknya Intan keluar daripada rumahnya.
Selain itu, jangan lupa juga untuk menyaksikan telefilem-telefilem istimewa sepanjang Januari ini, bermula dengan telefilem Wayar Putus pada 6 Januari dan juga telefilem Atan dan Atoi pada 27 Januari.
Malaysian DIgest