Sembilan ahli kongsi gelap direman bantu kes lelaki ditembak ketika makan
Bernama
27/03/2025

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar (kanan), bersama anggota yang bertugas menunjukkan pistol yang dirampas susulan tangkapan baharu berkaitan kes tembak mati di premis makanan, Taman Setia Indah. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Sembilan suspek dipercayai ahli kongsi gelap ditahan reman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki dalam kejadian tembakan di sebuah kedai makan di Taman Setia Indah di sini pada 8 Jan lepas.
Sembilan suspek dipercayai ahli kongsi gelap ditahan reman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki dalam kejadian tembakan di Taman Setia Indah pada 8 Januari lepas.
Suspek berumur antara 36 hingga 66 tahun ditahan dalam beberapa operasi berasingan, dan seorang suspek berumur 64 tahun ditembak mati oleh polis ketika cuba ditahan.
Polis merampas dua pistol, sepucuk pistol angin, peluru, serta dadah disyaki heroin, dan kes disiasat mengikut beberapa seksyen Kanun Keseksaan dan Akta Senjata.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata kesemua lelaki berumur antara 36 hingga 66 tahun itu ditahan dalam beberapa operasi berasingan di sekitar bandar raya ini pada 8 dan 17 Mac lepas.
Beliau berkata sebelum tangkapan sembilan lelaki terbabit, seorang lagi suspek berumur 64 tahun dipercayai terlibat dalam insiden pembunuhan itu telah ditembak mati oleh polis ketika operasi pertama dijalankan.
"Pada 3.10 pagi, 8 Mac lepas, polis berjaya mengesan lelaki berusia 64 tahun itu di Taman Molek di sini. Ketika cuba menahannya, suspek telah melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan insiden berbalas tembakan sebelum suspek ditembak mati.
"Pada hari sama antara 5 pagi hingga 6 pagi, enam suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Ah Siang manakala tiga lagi ditahan antara 9.45 pagi hingga 1 tengah hari di Jalan Bukit Meldrum pada 17 Mac," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Kumar berkata menerusi beberapa serbuan itu, polis turut merampas dua pistol, sepucuk pistol angin, beberapa butir peluru serta dadah disyaki jenis heroin dalam kejadian yang dipercayai bermotifkan dendam antara dua kumpulan kongsi gelap.
"Hasil siasatan mendapati kelongsong atau anak peluru yang ditemukan pada mangsa bunuh di Taman Setia Indah pada 8 Jan lepas telah ditembak menggunakan pistol sama daripada satu pistol yang dirampas," katanya sambil menambah sembilan suspek mempunyai pelbagai rekod dadah dan jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada 8 Jan lepas, Kumar dilaporkan berkata seorang lelaki berusia 40 tahun ditembak mati dipercayai dari jarak dekat dengan empat das tembakan ketika sedang makan di sebuah restoran di Taman Setia Indah, dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian ialah gunshot wound to the chest.
-- BERNAMA