Translate

21 March 2023

PM Anwar sahkan Lim Guan Eng tidak pernah batalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary


BERITA RTM

 Kerajaan mengesahkan bahawa bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak membuat sebarang pembatalan terhadap kelulusan pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwaan pihak pembangkang mengatakan Guan Eng telah membatalkan pengecualian cukai yayasan tersebut adalah tidak benar.

"Maka dakwaan yang dibuat bahawa beliau telah membatalkan pengecualian adalah tidak benar.Hakikatnya kelulusan hanya dibuat pada 25 Februari 2021 iaitu kelulusan pengecualian cukai yang di luar kebiasaan yang melibatkan kedua-dua Yayasan Albukhary dan kumpulan Albukhary," kata Anwar, di Dewan Rakyat. 

Menjawab soalan tambahan ahli parlimen Rasah, Cha Kee Chin hanya Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mempunyai kuasa untuk membatalkan pengecualian cukai.

Yayasan Albukhary telah diberikan kelulusan bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 [Akta 53] sebagai institusi yang ditubuhkan bukan untuk tujuan mencari keuntungan dan semata-mata ditubuhkan bagi maksud amal.

Pendapatan dan derma yang diterima oleh institusi yang diluluskan bawah peruntukan subseksyen 44(6) Akta 53 akan dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Pengecualian sebegini diberikan kerajaan bagi menggalakkan sumbangan derma untuk maksud amal.

Sebelum ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu, mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pengecualian pembayaran cukai diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Muhyiddin berkata, beliau tahu punca Guan Eng yang ketika itu Menteri Kewangan, membatalkan pengecualian cukai yang diperoleh Yayasan Albukhary sebelum itu.

Guan Eng mencabar Muhyiddin mengemukakan bukti mengenai surat pembatalan cukai kepada Yayasan Albukhary yang didakwa dikeluarkan beliau atau berdepan tindakan saman fitnah.

Guan Eng menafikan mengeluarkan sebarang arahan spesifik untuk membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Yayasan Albukhary dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED