Translate

29 March 2023

Hannah setuju pindah pejabat MOM ke Bukit Jalil

Hannah setuju pindah pejabat MOM ke Bukit Jalil

Bernama

Mac 29, 2023 18:24 MYT

Hannah setuju pindah pejabat MOM ke Bukit Jalil


Hannah setuju pindah pejabat MOM ke Bukit Jalil
Hannah berkata bangunan sedia ada itu tidak sesuai untuk perancangan 20 hingga 30 tahun akan datang bagi peranan yang dimainkan oleh MOM. - Gambar Bernama

Hannah berkata bangunan sedia ada itu tidak sesuai untuk perancangan 20 hingga 30 tahun akan datang bagi peranan yang dimainkan oleh MOM. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bersetuju pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) harus dipindahkan ke lokasi baharu di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil.

Hannah yang mendengar pembentangan mengenai permohonan pemindahan daripada Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada 3 Mac lepas, hari ini mengadakan lawatan ke Wisma OCM di Jalan Hang Jebat di sini yang dibina pada 1991, untuk melihat sendiri keadaan fasiliti badan induk sukan negara itu.

Selepas hampir sejam melawat pejabat MOM, persatuan sukan kebangsaan (NSA), dewan latihan, Hotel Olimpik dan OCM Sports Museum, beliau berkata pihaknya akan meneliti permohonan MOM itu.



"Lawatan ini akan melengkapkan pemahaman saya dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Dr K. Nagulendran mengenai keperluan untuk pemindahan.

"Kita kena lihat tanah itu, selepas itu kita kena tengok model pembangunan, dana terlibat dan semestinya kelulusan Kabinet.

"Sebelum kita boleh angkat kertas ini ke Kabinet, saya perlu buat penyediaan, dapatkan maklum balas daripada semua agensi berkaitan, (seperti) daripada pejabat tanah, semua itu kita akan mulakan proses untuk dapatkan maklum balas," katanya pada sidang media selepas lawatan.

Hannah berkata bangunan sedia ada itu berfungsi dengan baik sejak 30 tahun lepas, tetapi ia tidak sesuai untuk perancangan 20 hingga 30 tahun akan datang bagi peranan yang dimainkan oleh MOM.

"Saya sehaluan dengan Tan Sri Norza, saya percaya sukan perlu melalui pemodenan. Kita kena mulakan proses itu dengan fasiliti dahulu, kemudian kita bawa pemodenan ke pentadbiran sukan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata pihaknya mengenal pasti tanah seluas 2.6 ekar di kawasan KLSC untuk pembinaan Olympic House atau bangunan MOM yang baharu menerusi kaedah penukaran tanah dengan kerjasama pihak pemaju.

"Seboleh-bolehnya kita tidak mahu membebankan peruntukan kerajaan, kalau kita mohon bantuan kerajaan pun hanya untuk pemilikan tanah di kawasan Bukit Jalil...lain daripada itu, kita akan beri tanah ini kepada pemaju untuk satu jumlah, mereka akan membina bangunan baharu buat kita melibatkan jumlah yang sama.

"Kita nak mengikut jejak IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) yang membina bangunan baharu (Olympic House) di Lausanne, Switzerland bertemakan hijau, kelestarian, alam sekitar dan teknologi hijau," katanya.

Mohamad Norza berkata ibu pejabat sedia ada seakan-akan sebuah 'muzium lama' dan keadaan itu menimbulkan tanggapan yang kurang baik bagi MOM sebagai payung kepada gabungan 58 badan sukan kebangsaan.

Katanya ketika pembinaan Wisma OCM, kawasan itu merupakan hab sukan kerana berdekatan dengan Stadium Negara, Stadium Merdeka dan Stadium MABA, tetapi kini kebanyakan fasiliti sukan sudah beralih ke Bukit Jalil, selain lokasi itu sukar diakses akibat kesesakan.

Status pajakan bagi tanah Wisma OCM seluas lebih kurang 1.8 ekar, yang masih berbaki 54 tahun, akan tamat pada 2077.

-- BERNAMA


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED