KDN rampas alat permainan seks bernilai RM115,000
Astro Awani
Mac 7, 2023
KDN rampas alat permainan seks bernilai RM115,000
Operasi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berumur 57 tahun pada 19 Dis lalu dan telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 2 Feb lepas. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas alat permainan seks berjumlah RM115,000 yang dipasarkan secara dalam talian dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang di sini.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata, rampasan dalam operasi Ops Maya itu dilakukan berdasarkan risikan dan pemantauan terhadap rumah berkenaan, yang digunakan sebagai lokasi menyimpan dan menjual peralatan terbabit secara dalam talian.
Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata peralatan terbabit adalah barang larangan dan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memudaratkan kemoralan.
Menurutnya, operasi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berumur 57 tahun pada 19 Disember lalu dan telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 2 Februari lepas di bawah akta berkenaan dan Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana mengedar dan menjual barang-barang lucah.
"Ops Maya ini bertujuan untuk membanteras pengedaran, penjualan dan pembelian alat permainan seks yang dilarang kerana berlawanan dari segi moral dan budaya negara ini.
"Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 2 Februari lalu dan dikenakan denda RM5,000.
"Hasil risikan mendapati penjualan itu sudah beroperasi sejak hujung tahun lalu dan barangan yang dirampas diimport dari China dan Thailand dengan hasil jualan boleh mencecah sehingga RM300,000," katanya pada sidang media Rampasan Alat Mainan Seks di sini hari ini.
Antara barangan yang dirampas terdiri patung seks, alat kemaluan lelaki dan wanita serta alat permainan seks yang dilarang di negara ini.
Nik Yusaimi berkata, barangan itu dijual antara RM70 hingga RM1,500 yang dipasarkan secara dalam talian di negara ini.
Katanya, KDN juga sedang melakukan siasatan lanjut sama ada terdapat rangkaian penjual lain yang memasarkan barangan terlarang itu.
"Pihak KDN tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen untuk mengimport barangan terbabit dan menjadi kesalahan sekiranya berjaya dikesan dan akan dikenakan tindakan undang-undang.
"Kita akan meneruskan usaha membanteras aktiviti penjualan barangan tidak bermoral ini, termasuk memantau di laman jualan secara dalam talian," katanya.