Translate

17 February 2022

Cabul: Bekas pembantu Speaker DUN Pulau Pinang jalani hukuman penjara 30 bulan

 


Bernama
Khor gagal memperoleh kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan untuk memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Bekas pembantu khas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Khor Khan Khai, terpaksa menjalani hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mencabul kehormatan seorang wanita hampir empat tahun lepas.
Ini kerana dia gagal memperoleh kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan untuk memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara.
Khor, 43, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum dibenarkan meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan mengikut Seksyen 50 (2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana kesnya dari Mahkamah Majistre
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah menolak permohonan kebenaran Khor hari ini.
Pada 23 Nov 2020, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam mendapati Khor bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita yang ketika itu berumur 31 tahun dan menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan
Khor dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Jalan Sungai Rambai, daerah Seberang Prai Pulau Pinang pada 11.15 malam, 24 Ogos 2018.
Dia merayu di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukuman penjara namun Mahkamah Tinggi Butterworth menolaknya pada 21 Dis tahun lepas yang menyebabkan dia memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk meneruskan rayuannya ke Mahkamah Rayuan.
Dalam permohonan kebenaran merayunya itu, Khor, turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Peguam M. Athimulan yang mewakili Khor memohon mahkamah memberikan kebenaran atas alasan terdapat beberapa persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari yang mewakili pendakwaan berkata persoalan yang dibangkitkan pihak pembelaan bukan persoalan undang-undang dan kebenaran itu tidak sepatutnya diberikan kepada Khor.
Seksyen 50 (2) Akta Mahkamah Kehakiman menyatakan bahawa rayuan terhadap mana-mana keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dengan perkara jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret akan terhad kepada persoalan undang-undang sahaja.
-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED