PRN Johor: UMNO tukar calon di DUN Sungai Balang, Tanjung Surat
Astro Awani
Februari 26, 2022
Hasni pada Jumaat berkata, pertukaran itu bagi membolehkan BN menampilkan calon terbaik bagi memenuhi hasrat pengundi dan orang muda. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Dua calon UMNO bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditukar sehari sebelum proses penaman calon berlangsung pada pukul 9 pagi tadi.
Memetik laporan media, pertukaran tersebut melibatkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang dan Tanjung Surat.
Sebelum ini, UMNO mengumumkan Mohd Helmi Abdul Latif sebagai calon di DUN Sungai Balang yang terletak di bawah Parlimen Muar.
Bagaimanapun, ia ditukar kepada calon baharu iaitu Selamat Takim.
Memetik Malaysiakini, Selamat menafikan dakwaan bahawa dirinya tidak mendapat sokongan akar umbi sehingga berlaku penolakan terhadap pencalonannya di kawasan tersebut.
“Isu pertukaran calon adalah proses normal ketika rundingan. Kepimpinan tertinggi yang tentukan siapa calon terbaik. Tidak ada isu penolakan,” kata Selamat seperti dilapor portal tersebut, pada Sabtu.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), Fadzmel Fadzil dilaporkan berkata, calon baharu dipertaruhkan bagi DUN Tanjung Surat ialah Aznan Tamin.
Aznan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang diberikan watikah pencalonan menggantikan Datuk Syed Sis Abd Rahman.
Aznan menerusi hantaran di Facebook turut mendapatkan restu ibunya sebelum sebelum bergerak ke Pusat Penamaan Calon pagi tadi.
“Emak, reda emak adalah reda Allah. Doamu mampu menembus langit.
“Sebelum bergerak ke penamaan calon, perkara wajib yang saya lakukan ialah memohon restu ibu. Terima kasih mak atas segala-galanya,” katanya.
BN pada Khamis membuat pengumuman calon melibatkan 56 kerusi membabitkan 37 kerusi untuk UMNO, 15 MCA dan empat daripada MIC.