Translate

26 June 2021

SPRM membongkar kegiatan sindiket disyaki membolot 22 projek bernilai RM135 juta di sebuah kementerian sejak 2017.




SPRM bongkar sindiket bolot 22 projek RM135 juta di sebuah kementerian
Bernama
Jun 26, 2021

SPRM membongkar kegiatan sindiket yang disyaki membolot 22 projek bernilai RM135 juta di sebuah kementerian sejak 2017. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan sindiket yang disyaki membolot 22 projek bernilai RM135 juta di sebuah kementerian sejak 2017.

Ia hasil siasatan suruhanjaya itu terhadap seorang penolong setiausaha bahagian kementerian berkenaan, pemilik-pemilik syarikat dan pengurus syarikat yang ditahan sejak 21 Jun lepas.

Hasil siasatan berhubung kes itu membawa kepada penahanan terbaharu iaitu seorang pegawai bahagian perolehan di kementerian berkenaan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM150,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek bernilai RM2.6 juta.


Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, dan kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Jun untuk siasatan lanjut.

Menurut sumber itu, projek bernilai RM2.6 juta itu adalah projek pembekalan kelengkapan menyelam bagi sebuah agensi kerajaan.

Perintah reman terhadap lelaki berkenaan dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

"Sindiket ini juga dipercayai mengupah pihak lain pula untuk mengendalikan projek-projek tersebut," kata sumber itu.

Pada 21 Jun lepas, empat pemilik syarikat kejuruteraan marin ditahan reman kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan marin yang dianggarkan bernilai RM10 juta daripada agensi kerajaan.

Esoknya, penolong setiausaha bahagian kementerian berkenaan pula ditahan dan diikuti dengan penahanan seorang pengurus syarikat.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, kata sumber.
-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED