Ebit berkata pasukannya memasuki Gaza diiringi tentera Mesir, dengan kereta berperisai sepanjang perjalanan. - Foto Instagram ebitlew |
Astro Awani
KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal Ebit Lew mengesahkan beliau dan delegasinya kini telah memasuki Gaza, Palestin, pada Isnin.
Katanya, Kedutaan Malaysia dan Unit Perisikan Tentera Mesir memaklumkan delegasinya merupakan yang pertama di dunia dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah selepas perang selama 11 hari tamat bulan Mei lalu.
Dalam muat naik di laman Instagram miliknya, Ebit Lew menyatakan kemasukannya ke bumi Gaza diiringi tentera Mesir dengan kereta perisai sepanjang perjalanan.
"Mesir sendiri telah banyak memberi bantuan dan mengetuai dalam membangunkan Gaza semula, ada lebih 30 Badan Bukan Kerajaan (NGO) seluruh dunia sedang memohon dan sebahagiannya di Mesir.
"Doakan mereka semua dimudahkan Allah supaya lebih ramai dapat membantu," katanya.
Mengulas lanjut, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew melahirkan rasa kesyukuran dapat memasuki bumi Palestin.
"Sebak sayu terasa seperti balik kampung halaman sendiri. Mungkin dari kecil berdoa untuk rakyat Palestin. Kini dapat jejak kaki ke sini.
"Saya minta maaf tidak update sebelum ini atas faktor keselamatan. Terharu bila sampai kami disambut oleh Palestin Red Crescent. Ramai berebut untuk menyambut. Kementerian Kesihatan Palestin dan Kementerian Luar Palestin.
"Sepanjang masuk sempadan Rafah, cuma kedengaran semua ajak minum makan dan ke rumah mereka. Terasa seperti keluarga yang sangat dekat," ujarnya.
Pada 25 Mei, Ebit Lew dilaporkan berlepas ke Mesir untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan untuk disampaikan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.
FOR MORE NEWS GO TO:
https://www.astroawani.com/berita-dunia/ebit-lew-kini-di-gaza-pasukan-pertama-di-dunia-dibenar-masuk-ikut-pintu-rafah-305464