Translate

29 June 2021

SINDIKET PEMALSUAN ROCKERS MYANMAR TUMPAS (Video)

Datuk Khairul Dzaimee Daud

SINDIKET PEMALSUAN ROCKERS MYANMAR TUMPAS

Imigresen Malaysia

Pada 25 Jun 2021, jam 7.32 petang, sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas telah berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen Imigresen dalam satu “Operasi Khas” yang dilancarkan di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki warganegara Myanmar berusia 38 tahun yang juga dikenali sebagai “Rockers” disyaki menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen berjaya ditangkap. Kejayaan tersebut adalah hasil daripada maklumat risikan selama empat bulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia.

Tindakan pantas telah diambil oleh pegawai operasi dengan menahan sabjek ketika sedang menunggu pelanggan di dalam kereta di belakang sebuah bangunan di kawasan Kota Raya. Dengan penangkapan ini, sabjek telah membawa pasukan operasi ke sebuah kondominum mewah di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur yang dijadikan sebagai markas untuk mencetak dan mengeluarkan pelbagai dokumen palsu.

Hasil siasatan awal mendapati sabjek adalah pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (Suami kepada Warganegara). Sabjek dipercayai menjalankan kegiatan tersebut secara bersendirian dan telah beroperasi sejak empat tahun yang lalu. Sabjek menggunakan aplikasi WhatApps, Viber, Wechat dan Telegram sebagai medium untuk mencari pelanggan dan sabjek sendiri akan berjumpa dengan pelanggan bagi tujuan transaksi. Sindiket ini menyasarkan pelanggan terdiri dari warganegara Myanmar dan Bangladesh.

Selain mencetak dan mengeluarkan pelbagai dokumen palsu, sabjek juga mempunyai kemahiran menghasilkan dokumen-dokumen palsu yang mempunyai ciri-ciri keselamatan. Turut ditemui Cap Keluar/Masuk palsu pelbagai negara yang juga merupakan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan dengan bayaran tertentu.

Kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket kepada pelanggan ialah sebanyak RM300.00 hingga RM1000.00 bagi sekeping pelekat PLKS palsu, RM100.00 bagi sekeping i-kad palsu, RM200.00 pakej Cap Keluar/Masuk perbagai negara palsu, RM500 bagi senaskah pasport pelbagai negara palsu, RM 100 sekeping kad UNHCR palsu, RM100 untuk sekeping Sijil kelahiran Myanmar palsu serta Sijil perkahwinan Myanmar palsu dan RM100.00 bagi sekeping lesen memandu antarabangsa palsu.

Hasil pemeriksaan pasukan telah menemui, satu komputer desktop, sembilan buah mesin pencetak, dua buah mesin laminate, satu buah number engraving machine, tiga papan pemotong, satu mesin pengimbas dan beberapa peralatan lain untuk tujuan menghasilkan dokumen palsu. Selain daripada itu, pelbagai jenis dokumen palsu turut ditemui seperti i-kad palsu, kad UNHCR, passport pelbagai negara, sijil perkahwinan serta sijil kelahiran Myanmar, lesen memandu antarabangsa dan terdapat juga beberapa pasport asli pelbagai negara seperti India, Indonesia dan Amerika Syarikat. Pasukan juga turut merampas wang tunai sebanyak RM 15,300, sebuah kereta jenis Honda dan sebuah motosikal jenis Yamaha.

Sabjek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55(D) Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu Visa, Permit, Pas atau Kelayakan di bawah Akta. Sabit kesalahan, bertanggungan kepada denda tidak kurang RM30,000.00 dan penjara tidak kurang 5 tahun tidak lebih 10 tahun dan hendaklah juga dihukum sebat tidak lebih 6 sebatan.

Operasi ini merupakan satu kejayaan yang terbesar bagi Jabatan Imigresen Malaysia. Jabatan Imigresen Malaysia akan terus memburu sindiket atau individu yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang. Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 atau Akta Pasport 1966.

Source: Facebook Imigresen Malaysia

https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=4332792396787182&id=138683329531464

 




Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED