Translate

30 June 2021

Akhirnya Timbalan Speaker Mengaku Menghadiri Jamuan Durian Baru-Baru dan Bukan Tahun Lepas





Rashid akui hadir jamuan durian baru-baru ini, bukan tahun lalu
Malaysiakini


Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon mengaku menghadiri jamuan durian baru-baru ini dan bukan tahun lalu seperti yang didakwa sebelumnya.

Dia juga meminta maaf atas kesalahannya dan berjanji akan memberikan kerjasama dengan pihak polis yang sedang menyiasat insiden itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rashid berkata kekeliruan timbul apabila terdapat pihak media yang menghubunginya bagi bertanyakan mengenai video berkenaan dan dia menjawab soalan tanpa menonton terlebih dahulu rakaman tersebut.

"Setelah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, barulah saya ada kesempatan untuk analisa video yang terkait pada saya.


"Saya mohon maaf atas kekhilafan ini dan menyerahkan siasatan lanjut dan saya berjanji untuk memberikan kerjasama kepada pihak PDRM," katanya dalam kenyataan.





Semalam Rashid bersama Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara menghadap Agong bagi membincangkan isu pembukaan semula Parlimen.



Timbalan speaker itu baru-baru ini dirakam lensa kamera sedang menikmati acara makan durian dengan sekumpulan individu.

Acara itu dikatakan berlangsung di kawasannya di Batu Pahat pada Ahad lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Rashid mengatakan jamuan durian itu berlaku tahun lalu dan ia merupakan "video lama".

Pembantunya juga mengatakan kehadiran seorang individu di pesta durian itu dengan memakai pakaian yang sama dengan acara sebelumnya di Majlis Perbandaran Batu Pahat, berlaku secara "kebetulan".

'Berbincang tentang bantuan'

Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, lawatan ke kebun durian berkenaan dilakukan selepas menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman mereka berikutan jualan yang merosot.

Katanya, kebun durian itu diusahakan masyarakat setempat yang turut terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Kebetulan ketika itu terdapat lawatan kerja YB Zuraida Kamaruddin ke Batu Pahat. Oleh itu, kami menghadiahkan durian kepada rombongan menteri untuk dibawa pulang.

"Selepas rombongan menteri pulang, saya dibawa ke kebun oleh salah seorang pengusaha pada sebelah petang bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.

"Setiba saya di kebun, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkannya kepada kami.

"Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan," katanya yang menambah dia meninggalkan program itu lebih awal kerana perlu pulang ke Kuala Lumpur.




Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED