COVID-19: Jumlah vaksinasi harian catat rekod tertinggi pada 22 Jun
ASTRO AWANI
Jun 23, 2021 10:15 MYT
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi pada Selasa dengan pemberian 250,529 dos. -Gambar fail
PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi pada Selasa dengan pemberian 250,529 dos, sekali gus menghampiri sasaran vaksinasi harian 300,000 yang ditetapkan kerajaan pada bulan Ogos.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) menerusi perkongsian di Twitter berkata, daripada jumlah itu, seramai 190,244 individu menerima dos pertama manakala 60,285 individu menerima dos kedua.
Sementara itu, seramai 1,727,042 individu telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 dan seramai 4,574,685 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah sebanyak 6,301,727.
Lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi adalah Kuala Lumpur dengan 792,013, diikuti Sarawak (721,653); Selangor (700,693); Johor (394,956); Sabah (342,002); dan Perak (291,559).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini berkata, kerajaan menyasarkan lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 sehari bermula Julai, dan kemudian ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos.
Jumlah pemberian vaksin pada 22 Jun 2021 melepasi 250,000 dos, jumlah tertinggi setakat ini. #COVID19 #MenangBersama #LindungDiriLindungSemua pic.twitter.com/KbRIizyhFB
— KKMalaysia🇲🇾 (@KKMPutrajaya) June 23, 2021