Permohonan untuk mendapat vaksin AstraZeneca secara sukarela akan mula dibuka |
Permohonan vaksin AstraZeneca bermula esok, siapa cepat dia dapat - Khairy
Astro Awani
1/5/2021
KUALA LUMPUR: Permohonan untuk mendapat vaksin AstraZeneca secara sukarela akan mula dibuka kepada masyarakat 12 tengah hari, Ahad, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.
1/5/2021
KUALA LUMPUR: Permohonan untuk mendapat vaksin AstraZeneca secara sukarela akan mula dibuka kepada masyarakat 12 tengah hari, Ahad, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.
Dalam catatan terbaharu di laman Twitternya, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, permohonan melalui laman web vaksincovid.gov.my itu hanya memerlukan pendaftaran dan dibenarkan untuk memilih tarikh serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tersenarai.
Bagaimanapun, ia hanya terbuka kepada PPV di Kuala Lumpur dan Selangor, dan terhad kepada siapa yang cepat.
“Apabila anda selesai memilih PPV serta tarikh, anda akan menerima notifikasi waktu temujanji melalui aplikasi MySejahtera atau melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
“PPV yang tersenarai ialah di Universiti Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam,” katanya lagi.
Pada 28 April lepas, Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Kerajaan akan memulakan pemberian vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca kepada pemohon sukarela menerusi PPV khas.
Jelasnya lagi, tindakan berkenaan diambil bagi mempertimbangkan kegusaran rakyat mengenai keselamatan vaksin itu.
Untuk rekod, Malaysia telah menerima 268,800 dos vaksin COVID-19 AstraZeneca pada minggu lalu.
Dalam pada itu, Khairy berkata, laporan berita bahawa terdapat beberapa hospital yang mengambil tempahan untuk vaksin AstraZeneca adalah tidak benar.
Tambahnya lagi, permohonan itu terbuka kepada 268,000 orang berdasarkan siapa cepat dia dapat melalui website www.vaksincovid.gov.my.
Beliau berkata, tarikh pemberian vaksin itu kepada mereka yang berjaya akan bermula seawal 5 Mei, 2021.
Jika berjaya, kaedah ini mendapat sambutan, Khairy berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan membuka permohonan untuk negeri-negeri lain, bergantung kepada penghantaran vaksin AstraZeneca.
Tempahan untuk suntikan vaksin AstraZeneca dibuka esok 2 Mei jam 12 tgh hari di https://t.co/TF4fINjmn7 untuk penduduk KL dan Selangor. pic.twitter.com/cEKEwbJLKE
— Khairy Jamaluddin π²πΎπΊ (@Khairykj) May 1, 2021