Translate

30 May 2021

Rakaman Video, Bantu Waris "Hantar" Mangsa COVID-19 "Pulang" Ke Sisi-Nya

2,650 nyawa setakat semalam yang turut merekodkan angka kematian harian tertinggi sebanyak 98 kes.

Rakaman video bantu waris "hantar" mangsa COVID-19 "pulang" ke sisi-Nya

BERNAMA

IPOH, 30 Mei -- Pandemik COVID-19 di negara ini telah meragut 2,650 nyawa setakat semalam yang turut merekodkan angka kematian harian tertinggi sebanyak 98 kes.

Kadar kematian yang tinggi ini secara langsung turut memberikan kesan kepada pihak pengurusan jenazah memandangkan hanya pasukan khusus boleh melaksanakan proses itu, dan di daerah ini, tanggungjawab tersebut turut dipikul oleh pertubuhan Amal Team Ipoh.

“Kami sentiasa cuba menguruskan jenazah itu seperti kami menguruskan ahli keluarga sendiri kerana membayangkan kesedihan waris yang tidak dibenarkan terlibat mahupun berada berdekatan liang lahad,” kata wakil badan bukan kerajaan (NGO) itu Syahriman Shaari kepada Bernama baru-baru ini.

Menyedari kesedihan ahli keluarga tidak dapat menguruskan sendiri jenazah orang kesayangan, beliau berkata mereka juga merakamkan video semasa pengebumian yang berlangsung dengan kawalan ketat polis itu, bagi dikongsikan dengan waris.

“Kami cuba buat yang terbaik dan kemudian berkongsikan rakaman video pengebumian dengan waris kerana sepatutnya urusan ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri, dan pelbagai suasana menyedihkan dapat dilihat termasuklah ada yang tidak dapat menerima kenyataan hingga menjerit-jerit,” katanya.

Menceritakan proses pengurusan jenazah COVID-19, Syahriman berkata sebaik dimaklumkan oleh pihak hospital, mereka akan ke jabatan forensik hospital bagi mempersiap jenazah termasuk melaksanakan tayammum dan menyolatkan jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

“Kamilah yang turunkan jenazah ke dalam liang lahad dan selepas itu kami semburkan cecair pembasmi kuman dan timbus kubur tersebut. Kemudian kami sembur cecair pembasmi kuman lagi di atas kubur dan kawasan berhampiran,” katanya, menambah proses itu dilaksanakan bersama-sama enam lagi ahli Amal Team Ipoh dan Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, setakat ini badan itu telah menguruskan lebih 20 jenazah COVID-19 di seluruh Perak dengan sebahagian besarnya di sini.

Antara cabaran yang beliau tidak lupakan ketika menguruskan jenazah COVID-19 ialah hujan lebat menyebabkan air bertakung di dalam liang lahad yang telah disediakan oleh penggali kubur selain khemah diterbangkan angin ribut.

“Kami mengambil masa selama sejam hanya untuk membuang air yang bertakung sebelum jenazah selamat dikebumikan dan kerja-kerja menyembur cecair pembasmi kuman selesai di sekitar tanah kubur berkenaan,” katanya.

Mengakui wujud kebimbangan dirinya dijangkiti virus maut itu, Syahriman berkata beliau hanya bertawakal kepada Allah selepas mempersiap diri dengan memakai pakaian perlindungan diri serta menjalani proses nyahcemar setiap kali selesai menguruskan korban COVID-19.

“Nasihat kami kepada semua ialah jangan pandang ringan jangkitan COVID-19 ini. Patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.

Amal Team Ipoh merupakan NGO yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma untuk keluarga asnaf bagi mengurangkan beban mereka manakala operasinya dibiayai menerusi sumbangan orang ramai.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 1 hr 3 mins ago
A visitor from Putrajaya viewed 'Trump introduces 'Golden Card' for wealthy immigra' 1 hr 41 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Polis mohon bantuan kesan lelaki hilang sejak 5 Ap' 2 hrs 21 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'Siasatan dedah jutaan ringgit masuk akaun peribadi' 2 hrs 57 mins ago
A visitor from Petaling jaya viewed 'Kebakaran besar berlaku di Puchong, api menjulang ' 2 hrs 59 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Impian kanak-kanak penghidap kanser darah jadi ask' 3 hrs 13 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Kerajaan Nafi Kenakan Tarif 47 Peratus Ke Atas Bar' 3 hrs 53 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Kerajaan Nafi Kenakan Tarif 47 Peratus Ke Atas Bar' 4 hrs 26 mins ago
A visitor from Subang jaya viewed 'Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Sri Sanjeevan | ' 4 hrs 30 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Sri Sanjeevan | ' 4 hrs 33 mins ago