Translate

08 January 2021

Remaja 15 Tahun Korban Ketujuh Banjir Pahang


Remaja 15 tahun korban ketujuh banjir Pahang

BERNAMA
08/01/2021 


KUANTAN, 8 Jan -- Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi korban ketujuh banjir di Pahang selepas meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan berkata remaja berkenaan Mohammad Zamarulhisyam Shaari dipercayai lemas semasa mandi bersama tiga rakannya di kawasan banjir di jalan Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling kira-kira 171 kilometer (km) dari sini pada 4 petang semalam.

"Rakannya mendakwa mangsa secara tiba-tiba lemas menyebabkan mereka cuba membantu namun gagal kerana mangsa berada di kawasan dalam.

"Kejadian disedari seorang penduduk kampung yang berenang ke arah mangsa dan menariknya ke tiang elektrik berdekatan sebelum mengambil pelampung bagi membawa mangsa ke tempat selamat," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Mazlan berkata mangsa diberikan bantuan pernafasan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Tembeling untuk rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Jerantut dengan menaiki bot.

Bagaimanapun, keadaan mangsa semakin kritikal menyebabkan dia dirujuk ke Hospital Kuala Lipis pada 9.55 malam tadi, sebelum disahkan meninggal dunia pada 3.33 petang ini.

Dalam pada itu, Mazlan menasihatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka supaya tidak bermain banjir yang boleh mengundang kepada kejadian lebih buruk.

"Saya juga berharap orang ramai tidak panik dengan situasi banjir kerana stok bahan api dan bekalan makanan di Jerantut masih mencukupi," katanya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED